Istiadat angkat sumpah Exco baharu Negeri Sembilan esok

Seramai tujuh Exco baharu Negeri Sembilan dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pada Jumaat.
Seramai tujuh Exco baharu Negeri Sembilan dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan baharu akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Jumaat.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu dijadual berlangsung pada jam 9 pagi.

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, seramai tujuh Exco baharu dijangka mengisi barisan pentadbiran Negeri Sembilan, berbanding 10 anggota sebelum ini.

Antara nama yang dikatakan bakal menganggotai barisan Exco baharu itu ialah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO iaitu ADUN Pilah, S Leza Md Yasin; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.

Selain itu, ADUN Repah daripada MCA, Koh Kim Swee, ADUN Gemas daripada Wawasan, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria.

Sebelum ini, majlis angkat sumpah berkenaan dilaporkan dijadual berlangsung pada 22 November lalu.

Bagaimanapun, majlis itu terpaksa ditangguhkan, dipercayai susulan keputusan 24 daripada 25 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk akur serta mematuhi apa juga arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mendedahkan surat peletakan jawatannya diserahkan oleh parti tanpa pengetahuannya.

Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya sudah dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya menjalankan tugas seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Pihak istana menerusi kenyataan media sebelum ini turut meminta Ismail membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ADUN.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!