Tiga beradik bergelimpangan, orang ramai sempat ajar mengucap

PASIR MAS - "Saya menitis air mata melihat mereka bertiga berlumuran darah".
Demikian kata pemilik kedai, Mohd Rosli Awang Ngah, 47, selepas menyaksikan insiden motosikal dinaiki tiga beradik dipercayai terbabas sebelum merempuh kedainya di Kampung Bechah, Tendong di sini pada Khamis.
Menurutnya, dia terkejut melihat motosikal terbabas masuk ke dalam kedainya dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu.
"Dua beradik tercampak sebelum jatuh bergelimpangan di atas jalan, manakala seorang lagi tercampak masuk ke dalam pagar rumah sebelah.
"Paling kritikal, seorang daripadanya tercampak ke dalam pagar rumah dan orang ramai sempat mengajarnya mengucap.
"Saya dalam keadaan panik terus mencari payung untuk menutup mangsa yang basah terkena hujan," katanya.
Dalam kemalangan itu, dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Muhammad Saiful Haider maut di lokasi kejadian, manakala adiknya, Muhammad Saiful Hayyan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Penunggang motosikal, abang sulung mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, yang merupakan pelajar diploma di sebuah kolej pula mengalami patah kaki dan turut dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
