Mesyuarat biasa, tiada perkara luar biasa: Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada perkara luar biasa dibincangkan dalam pertemuannya bersama beberapa ahli Parlimen di kediaman rasminya malam tadi.

Menurutnya, ia hanyalah mesyuarat biasa dan beliau mengambil sikap terbuka terhadap mana-mana pihak yang ingin bertemunya.

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu, beliau bertemu dengan ramai orang pada setiap hari dan ia datang dari pelbagai latar belakang.

“Saya bertemu dengan rakyat, dengan masyarakat perniagaan, dengan ahli Parlimen sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau bukan PH.

“Ini penting kerana sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, kita ingin dapatkan maklum balas daripada rakyat, daripada masyarakat perniagaan tentang apakah penerimaan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Bagi saya ini bukanlah satu perkara yang luar biasa, yang kita harus gembar-gemburkan,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan beberapa Ahli Parlimen PH dan Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan dengan Mohamed Azmin di kediaman rasminya di Presint 10, Putrajaya malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini

Artikel Berkaitan:

Meskipun banyak khabar angin tersebar berkenaan intipati pertemuan itu, namun tiada jawapan benar-benar konkrit diberikan mana-mana wakil rakyat yang dikatakan hadir dalam pertemuan itu.

Mereka memilih untuk ‘mengunci mulut’ atau menyatakan ia adalah pertemuan biasa, tiada perkara penting dibincangkan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan, beliau hanya akan menjelaskan isu tersebut kepada Biro Politik PKR sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian.

“(Akan datang mesyuarat esok?) Saya semak jadual saya. Biasanya kalau saya tak ada apa apa tugas rasmi, saya hadir program parti,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut mengesahkan beliau melakukan pertemuan dengan beberapa pemimpin PKR di Parlimen hari ini.

Begitupun, beliau menegaskan ia hanyalah mesyuarat biasa.

“Ini biasa. Saya ada banyak mesyuarat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin adakan pertemuan dengan MP PKR?