Kerajaan tidak berhasrat ambil alih konsesi lebuh raya - Alexander

SHAH ALAM - Kerajaan ketika ini tidak berhasrat untuk mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkannya lebih awal.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu dibuat dengan mengambil kira pelbagai implikasi, khususnya terhadap kewangan kerajaan.
Menurut beliau, tindakan sedemikian juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap industri lebuh raya.
"Pada masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkannya lebih awal
"Selaras dengan itu, tiada sebarang kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan pada masa ini," katanya alam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) sama ada kerajaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan implikasi kewangan bagi mengambil alih konsesi konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak atau menamatkan kutipan tol lebih awal.
Mengulas mengenai baki tempoh konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Alexander menjelaskan, ia akan tamat pada 31 Disember 2069.
Ujar beliau, kali terakhir pampasan dibayar oleh kerajaan akibat penangguhan kenaikan kadar tol di lebuh raya tersebut adalah pada 2021 iaitu sebanyak RM3.61 juta.
"Tiada lagi bayaran pampasan penangguhan kenaikan kadar tol selepas tahun tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

