MATEC 2026: Anak muda teruja, Wakaf Mara Madani jadi tumpuan

Majlis Pra Pelancaran Mara Automotive Ecosystem 2026 (MATEC 2026) oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki bersama rakan strategik. MATEC 2026 berlangsung pada 27 hingga 29 November di kawasan parkir A dan B, Bukit Jalil.
Majlis Pra Pelancaran Mara Automotive Ecosystem 2026 (MATEC 2026) oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki bersama rakan strategik. MATEC 2026 berlangsung pada 27 hingga 29 November di kawasan parkir A dan B, Bukit Jalil.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bahang penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 semakin terasa apabila acara automotif berskala besar anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu bakal berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 November ini di kawasan parkir A dan B, Bukit Jalil, di sini.

Bertemakan “Drive The Future”, MATEC 2026 dijangka menjadi tumpuan peminat automotif, golongan muda, usahawan dan keluarga menerusi pelbagai aktiviti menarik, pameran teknologi serta peluang mengenali perkembangan industri automotif negara.

Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan pelbagai tarikan automotif, malah boleh mendapatkan maklumat mengenai amalan kebajikan yang memberikan manfaat berpanjangan menerusi kehadiran Wakaf Mara Madani di reruai B50.

Penganjuran tahun ini menyasarkan kehadiran 150,000 pengunjung, penyertaan 220 pempamer serta potensi jualan RM60 juta, sekali gus mencerminkan usaha Mara memperkukuh ekosistem automotif dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.

Antara tarikan yang disediakan termasuk pameran kereta dan motosikal, teknologi automotif terkini, aktiviti drift, simulator, go-kart, permainan elektronik (e-games), pameran modifikasi serta pelbagai program pembangunan kerjaya dan keusahawanan.

Muhammad Amar
Muhammad Amar

Bagi Muhammad Amar Othman, 23, penuntut Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), penganjuran MATEC 2026 menjadi peluang menarik untuk golongan muda mendekati perkembangan teknologi dan industri automotif.

Beliau berpandangan, acara seumpama itu berpotensi menghubungkan minat generasi muda terhadap teknologi dan kandungan digital dengan peluang kerjaya pada masa hadapan.

Menurutnya, kehadiran pelbagai pempamer serta pengisian interaktif menjadikan MATEC 2026 lebih daripada sekadar pameran kenderaan, sebaliknya pengalaman yang mampu memberikan inspirasi kepada anak muda untuk meneroka bidang baharu.

Amar turut menyifatkan kehadiran Wakaf Mara Madani sebagai nilai tambah kerana pengunjung berpeluang mengenali amalan wakaf sambil menikmati kemeriahan acara automotif.

Baginya, reruai B50 wajar menjadi antara lokasi persinggahan pengunjung, khususnya golongan muda yang ingin memahami bagaimana sumbangan wakaf dapat dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat.

Peluang kenali dunia perniagaan, keusahawanan

Sementara itu, graduan UniKL Business School, Aniq Danish Isyraf Abu Hassan, 22, melihat MATEC 2026 sebagai platform yang berpotensi mempertemukan golongan muda dengan pemain industri, usahawan serta pelbagai peluang perniagaan.

Aniq Danish Isyraf
Aniq Danish Isyraf

Dengan latar belakang pendidikan dalam bidang perniagaan, beliau berpandangan acara yang menggabungkan pameran produk, teknologi, padanan perniagaan dan perkongsian pengalaman keusahawanan mampu memberikan pendedahan berguna kepada graduan yang bercita-cita membina kerjaya atau memulakan perniagaan sendiri.

Beliau turut menyifatkan penganjuran program yang menghimpunkan pelbagai segmen industri sebagai pendekatan berkesan untuk mendekatkan dunia perniagaan dengan masyarakat, khususnya generasi muda.

Pada masa sama, Aniq melihat penyertaan Wakaf Mara Madani sebagai peluang meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan tanggungjawab sosial dalam kehidupan dan dunia keusahawanan.

Baginya, kejayaan seseorang usahawan tidak seharusnya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata, tetapi juga melalui keupayaan berkongsi rezeki dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Singgah reruai B50, kenali manfaat wakaf

Di sebalik pelbagai tarikan automotif, kehadiran Wakaf Mara Madani memberikan satu lagi tarikan kepada pengunjung MATEC 2026.

Menerusi reruai B50, pengunjung berpeluang mendapatkan penerangan mengenai konsep wakaf, kaedah penyertaan serta bagaimana sumbangan yang diberikan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat secara berterusan.

Masih terdapat tanggapan bahawa wakaf hanya boleh dilakukan oleh golongan berada atau mereka yang memiliki tanah dan bangunan. Hakikatnya, menerusi konsep wakaf tunai, masyarakat boleh turut serta mengikut kemampuan masing-masing.

Wakaf Mara Madani ditadbir oleh Mara yang telah dilantik sebagai mutawalli atau pentadbir wakaf oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dana wakaf yang dikumpulkan diuruskan menerusi pendekatan pelaburan patuh syariah, manakala hasilnya dimanfaatkan untuk menyokong sektor pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan dan pembangunan aset wakaf.

Pengunjung yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pengurusan, manfaat dan peluang berwakaf boleh mendapatkan penerangan secara langsung daripada petugas di reruai berkenaan.

No Image Caption

Tiga hari penuh pengalaman, jangan lepaskan peluang!

Dengan kepelbagaian aktiviti yang disediakan, MATEC 2026 bukan sahaja sesuai untuk peminat kereta dan motosikal, malah menjadi pilihan menarik buat keluarga, mahasiswa, graduan serta mereka yang ingin meneroka peluang dalam industri automotif.

Orang ramai digalakkan membawa ahli keluarga dan mengajak rakan-rakan untuk sama-sama memeriahkan acara itu, selain mengambil peluang mengenali pelbagai inisiatif pembangunan usahawan yang diketengahkan Mara.

Pengunjung juga disarankan menjadikan reruai B50 Wakaf Mara Madani sebagai antara lokasi persinggahan bagi mendapatkan maklumat mengenai amalan wakaf dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat.

Kunjungan itu juga boleh menjadi titik permulaan kepada kesedaran untuk berkongsi rezeki serta melakukan kebaikan yang memberikan manfaat berpanjangan.

Maklumat lanjut mengenai Wakaf Mara Madaniboleh diperoleh menerusi Instagram @wakafmaramadani atau portal rasmi wakaf.mara.gov.my.

Datang kerana minat terhadap automotif, pulang dengan pengalaman, ilmu dan inspirasi untuk melakukan kebaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!