Project Earth perkukuh aset LTAT, pacu pulangan mampan

Mohammad Ashraf
Mohammad Ashraf
A
A
A

MELINDUNGI simpanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan memastikan pulangan dapat dikekalkan untuk jangka panjang menjadi keutamaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam menyusun semula portfolio pelaburannya.

Menerusi Project Earth, LTAT memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kebergantungan kepada aset strategik serta meningkatkan sumbangan aset berkenaan kepada pendapatan dana.

Langkah ini juga selaras dengan saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini supaya LTAT mempelbagaikan pelaburannya dan mengurangkan risiko akibat tumpuan pelaburan yang terlalu tinggi dalam Kumpulan Boustead.

Usaha itu kini diteruskan melalui GEMPUR30, pelan strategik bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menetapkan hala tuju ke arah portfolio lebih seimbang dan berdaya tahan.

Kepentingan mempelbagaikan pelaburan, bukan sekadar jual aset

Apabila modal pelaburan terlalu tertumpu kepada sesebuah syarikat atau sektor, sebarang kemerosotan prestasi sektor berkenaan boleh memberi kesan besar kepada keseluruhan dana.

Pengurusan dana yang baik juga memerlukan strategi keluar daripada sesuatu pelaburan.

Apabila pelaburan mencapai nilai dan pulangan yang bersesuaian, sebahagian keuntungan boleh direalisasikan untuk dilaburkan semula dalam aset lain yang menawarkan potensi pulangan lebih baik.

Justeru, ukuran kejayaan Project Earth turut merangkumi keupayaan syarikat yang dikekalkan untuk menjana pendapatan, mengawal hutang dan mengembangkan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, transformasi aset strategik itu dilaksanakan secara terancang.

“LTAT sedang mempercepat transformasi aset strategiknya menerusi inisiatif korporat yang dipertimbangkan dengan teliti bagi mengukuhkan kemampanan jangka panjang dana,” katanya kepada Sinar Harian.

Menerusi GEMPUR30, LTAT menyasarkan pengurangan bahagian aset strategik dalam portfolionya kepada kira-kira 35 peratus menjelang 2030, berbanding 57.8 peratus pada Julai 2025.

Tumpuan ini perlu dikurangkan secara berperingkat, terutama apabila pulangan aset strategik masih berada di bawah sasaran pelaburan LTAT.

Pada masa sama, dana itu mahu meningkatkan pegangan dalam ekuiti tersenarai dan pendapatan tetap kepada sekurang-kurangnya 20 peratus bagi setiap kelas aset dalam tempoh berkenaan.

“Dalam hal ini, LTAT perlu meningkatkan pendedahan kepada ekuiti tersenarai dan pendapatan tetap yang boleh didagangkan supaya memperoleh pendapatan berulang serta kecairan yang mencukupi,” kata Mohammad Ashraf.

LTAT sasar mengurangkan kebergantungan aset strategik daripada 58 peratus kepada 35 peratus dan mempelbagaikan portfolio menjelang 2030.
LTAT sasar mengurangkan kebergantungan aset strategik daripada 58 peratus kepada 35 peratus dan mempelbagaikan portfolio menjelang 2030.

Bagi tahun kewangan 2025, LTAT mengumumkan dividen sebanyak 5.35 peratus membabitkan pembayaran RM524.74 juta, yang disifatkan dana itu sebagai pembayaran tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Perkembangan Pharmaniaga memberi gambaran tentang kemajuan pemulihan aset strategik LTAT.

Syarikat itu melengkapkan pelan regularisasi dan keluar daripada status PN17 berkuat kuasa 17 Mac 2026.

Tumpuan selepas fasa pemulihan ialah mengekalkan prestasi serta memperkukuh pertumbuhan perniagaannya.

Pemulihan dan penstrukturan diteruskan

Cadangan pengurangan pegangan LTAT dalam Boustead Plantations Berhad (BPlant) juga merupakan sebahagian daripada Project Earth.

Pemulihan prestasi BPlant memberi peluang kepada LTAT untuk merealisasikan nilai pelaburannya ketika syarikat berada dalam kedudukan yang lebih kukuh.

Namun, sebahagian daripada tanaman sawit BPlant telah berusia dan semakin kurang produktif, sekali gus memerlukan penanaman semula.

Penanaman semula memerlukan peruntukan modal yang besar, manakala pokok sawit baharu mengambil masa beberapa tahun sebelum mula mengeluarkan hasil.

Pinjaman pelaburan sekitar RM1.8 bilion bagi membiayai pengambilalihan BPlant yang dimulakan pada 2023 melibatkan kos faedah hampir RM80 juta setahun.

Dividen yang diterima LTAT masih belum mencukupi untuk menampung kos faedah tersebut.

Di samping itu, LTAT juga perlu mengeluarkan wang tunainya sendiri untuk tujuan pembayaran semula jumlah pokok pinjaman berjumlah RM100 juta setahun untuk tahun 2025 dan 2026.

Di sinilah pentingnya penglibatan rakan strategik yang mampu menyokong pembangunan BPlant tanpa meletakkan keseluruhan beban pembiayaan kepada LTAT.

Selain nilai tawaran, pemilihan turut mengambil kira bukti pembiayaan, keupayaan menyempurnakan urus niaga, pemilikan Bumiputera, prospek perniagaan serta kesinambungan operasi dan komitmen BPlant kepada warga ATM. Saiz syarikat semata-mata bukan penentu pemilihan.

Aspek pemilikan Bumiputera perlu dinilai berdasarkan struktur pemilikan dan kawalan sebenar sesebuah syarikat, dengan mengambil kira garis panduan serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan.

Pada masa sama, setiap pembida perlu diberi peluang yang sama untuk mengemukakan tawaran terbaik dalam tempoh ditetapkan.

Pematuhan kepada kriteria dan peraturan bidaan penting bagi memastikan proses kekal adil kepada semua pihak, termasuk dalam menangani sebarang tawaran selepas tarikh tutup.

Dalam perkembangan yang dilaporkan pada 18 November 2026, LTAT memaklumkan bahawa proses masih berlangsung dan belum ada perjanjian yang dimuktamadkan.

Urus niaga berkenaan tertakluk kepada proses pertimbangan dan kelulusan Panel Pelaburan, Lembaga LTAT serta pihak berkuasa berkaitan.

Melalui penstrukturan yang sedang dilaksanakan ini, LTAT berpeluang menyelesaikan komitmen hutang, memperkukuh kecairan dan mempelbagaikan pelaburannya, manakala BPlant dapat meneruskan pembangunan perniagaan dengan sokongan modal serta kepakaran rakan strategik.

Pada akhirnya, kejayaan Project Earth dan GEMPUR30 bukan sekadar diukur melalui nilai aset yang dilupuskan, tetapi melalui keupayaan LTAT memelihara kepentingan Bumiputera dan menjamin kemampanan simpanan serta pulangan kepada anggota ATM.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!