Saman terhadap Google diserahkan kepada peguam syarikat di Malaysia - Nie Ching

Nie Ching
Nie Ching
A
A
A

KULAI - Saman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan memudaratkan di YouTube telah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata, ini kali pertama MCMC menyaman Google, manakala suruhanjaya itu sebelum ini pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap Telegram.

"Setakat pengetahuan saya, saman ini telah diserahkan kepada Google, kepada peguam mereka di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Program Aspirasi MADANI dan Apresiasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Murni Jaya di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, kelemahan sistem saringan YouTube menyebabkan MCMC terpaksa menggunakan tenaga kerjanya untuk memantau dan melaporkan kandungan perjudian dalam talian, sedangkan Google sepatutnya mempunyai pasukan sendiri untuk menyaring kandungan pada platform itu.

Menurut MCMC, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube dari 1 Januari hingga 28 Oktober tahun ini, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.

Pada 25 November, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.

Saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan, termasuk berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan, manakala saman kedua berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.

Bagi setiap saman, MCMC menuntut RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!