12 projek RM1.058 bilion di Bagan Datuk diteruskan

AHMAD FAIZAL
AHMAD FAIZAL
A
A
A

IPOH - Sebanyak 12 projek di daerah Bagan Datuk bernilai RM1.058 bilion masih diteruskan pembangunannya walaupun projek pembinaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Daerah Bagan Datuk ditangguhkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penangguhan projek pembinaan kompleks dibuat bagi membolehkan kajian semula setelah mempertimbangkan analisis manfaat kos dan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri berikutan pembatalan beberapa projek pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut oleh kerajaan Persekutuan.

Namun katanya, bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk yang disiapkan pada 14 Februari 2018 telah mula beroperasi sepenuhnya pada 5 Mac 2018.

"Walaupun terdapat beberapa projek melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang telah dibatalkan pelaksanaannya sebelum ini, sejumlah peruntukan bernilai RM1.058 bilion telah diluluskan untuk pelaksanaan 12 projek pembangunan di daerah Bagan Datuk.

"Antara projek-projek RMK11 yang telah siap adalah pembangunan Landskap Dataran Bagan Datuk. Manakala, projek-projek dalam peringkat pelaksanaan adalah antaranya; Maktab Rendah Sains Mara Bagan Datuk, Kompleks Sukan Bagan Datuk, Jambatan Bagan Datuk dan Politeknik Bagan Datuk," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Beliau berkata, projek-projek RMK11 yang bakal dibangunkan antaranya Rancangan Tebatan Banjir Bagan Datuk dan Klinik Kesihatan Jenis 3 berserta kuarters di Hutan Melintang.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, sebagai sebuah daerah yang baharu, pembangunan Bagan Datuk sentiasa mendapat perhatian khusus daripada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk melengkapkan kemudahan serta peranan Bagan Datuk sebagai sebuah daerah penuh.

"Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035 juga sedang dibangunkan sebagai suatu pelan perancangan bandar dan desa induk dan menyeluruh bagi Daerah Bagan Datuk sehingga tahun 2035," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Shahrul Zaman, Ahmad Faizal menegaskan kerajaan Perak tidak pernah meminggirkan pembangunan di mana-mana daerah di negeri itu.

Katanya, seperti daerah-daerah lain, daerah Bagan Datuk juga menerima peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, bagaimanapun peruntukan yang disalurkan berdasarkan keperluan dan status semasa kewangan kerajaan.