BDB laksana lima projek utama bernilai RM1.5 bilion

Che Had (empat dari kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah BDB bersempena Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-28 di sebuah hotel, pada Khamis.
Che Had (empat dari kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah BDB bersempena Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-28 di sebuah hotel, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Bina Darulaman Berhad (BDB) sedang melaksanakan lima projek utama dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM1.5 billion sehingga Jun 2023.

Pengerusi BDB, Che Had Dhali berkata, lima projek itu melibatkan pelbagai sektor perniagaan utama BDB termasuklah pembangunan perbandaran mampu milik di Darulaman Lagenda, Sungai Petani dan Darulaman Saujana, Kubang Pasu serta perumahan mampu milik,Aman Nusa di Langkawi.

Beliau berkata, ketiga-ketiga projek terbabit memiliki GDV berjumlah RM1.3 bilion sekali gus bakal memberi manfaat kepada sebahagian rakyat yang tinggal di daerah Sungai Petani, Kubang Pasu dan Langkawi.

“BDB Infra Sdn Bhd (BISB) yang merupakan anak syarikat milik penuh BDB turut mendapat kepercayaan daripada kerajaan negeri apabila dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri bernilai RM204 juta melibatkan zon 1 iaitu daerah Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Yan dan Sik.

"BISB juga berjaya dalam bidaan projek Sistem Pengairan Tersier dengan nilai kontrak berjumlah RM34.08 juta serta pengambilalihan Kuari Gemi Puncak, Langkawi dengan nilai RM13 juta," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-28 di sebuah hotel, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Raja Shahreen Raja Othman dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB serta pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Menurut beliau, projek dengan jumlah keseluruhan RM1.5 bilion terbabit diharapkan dapat memacu pertumbuhan dan pembangunan lestari sekaligus membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan keselesaan dan taraf hidup rakyat Kedah.

Che Had berkata, pihaknya turut berharap projek itu dapat menjana pendapatan kepada syarikat untuk tahun-tahun mendatang sekaligus dapat meletakkan BDB ke satu tahap yang lebih tinggi.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan BDB mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi Prestasi Kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM9 juta pada 2022 iaitu peningkatan daripada RM7.8 juta pada 2021.

"Pendapatan juga turut meningkat dari RM201.7 juta pada 2021 kepada RM231.4 juta pada tahun 2022, sekali gus turut meningkatkan rizab tunai juga RM66.3 juta kepada RM79.9 juta untuk tempoh yang sama," katanya.

Tambah Che Had, BDB turut menyokong dan menjayakan enam inisiatif dalam Pelan Pembangunan Jangka Panjang Negeri Kedah iaitu KEDAH2035 iaitu melibatkan penyambungan dan pembangunan infrastruktur, keselamatan alam sekitar dan inisiatif hijau, pertanian lestari dan keterjaminan makanan serta pelancongan dan warisan budaya.

Beliau memaklumkan, BDB kini telah pun memulakan langkah untuk meneroka peluang perniagaan melibatkan bidang Tenaga Boleh Diperbaharui termasuklah Pembangunan Perbandaran Hijau dan solar fotovoltaik (PV) yang turut akan dipasang di beberapa projek pembangunan perumahan yang dibangunkan kelak.

Che Had berkata, BDB juga menyokong peningkatan sektor pertanian di Kedah dengan menggalakkan amalan lestari dan memanfaatkan teknologi serta inovasi dengan menyasarkan untuk meneroka inisiatif baharu dalam pertanian mampan untuk memastikan keterjaminan makanan antaranya melalui sistem akuaponik.

“Selain itu, BDB melalui Darulaman Park turut memposisikan dirinya sebagai destinasi pelancongan yang bervariasi dan dinamik di Kedah bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa serta menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan industri pelancongan di daerah Kubang Pasu khasnya sekaligus membantu kepada kejayaan KEDAH2035,” katanya.

Beliau menyatakan, usaha bersama yang dijalankan BDB diharapkan dapat membantu kepada kejayaan KEDAH2035, sekaligus memastikan kesejahteraan rakyat dan Kedah.

Dalam perkembangan lain, Raja Shahreen memaklumkan, projek menaiktaraf LRA Pelubang di Kubang Pasu berjalan dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.