Guna Tabung Bencana bayar wang ihsan

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Akaun Amanah Tabung Bencana Negeri Perak yang disediakan kerajaan negeri boleh digunakan untuk membayar wang ihsan kepada mangsa bencana alam di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dengan cara itu pemberian wang ihsan dapat disegerakan bagi membolehkan mangsa mendapat keperluan penting setelah mereka terjejas akibat bencana itu.

Menurutnya, selain itu tabung berkenaan boleh digunakan bagi perbelanjaan untuk perkara-perkara lain yang berkaitan bencana alam.

"Bagi maksud bencana Monsun Timur Laut pula, akaun ini boleh digunakan bagi tujuan perbelanjaan menyelamat mangsa serta keurusetiaan dan perbelanjaan di pusat pemindahan sementara.

"Tabung ini diwujudkan di bawah Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957, yang mana ia boleh dicarum atau disumbangkan daripada sumbangan kerajaan negeri dan Persekutuan, badan berkanun, syarikat swasta, NGO (badan bukan kerajaan) mahupun individu perseorangan," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga turut menyumbang sebanyak RM170,000 ke dalam tabung ini mulai tahun 2018 selain beberapa sumbangan yang turut diterima daripada individu.

Menurutnya, bagi kerja-kerja projek pembaikan pasca bencana dan darurat yang perlu dilaksanakan segera, peruntukan Kecemasan Pegawai Daerah (P02) sebanyak RM200,000 untuk setiap daerah boleh digunakan.

Katanya, selain itu peruntukan daripada menteri besar dan Exco juga boleh digunakan untuk tujuan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kajian semula berkenaan mekanisme dan peruntukan bagi maksud pemberian ketika bencana berdasarkan benchmarking kepada negeri-negeri lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tuntutan wang ihsan boleh disalurkan dalam tempoh tujuh hari selepas semua dokumen lengkap diterima pejabat daerah dan tanah.

Katanya, laporan polis lengkap perlu dikemukakan bersama salinan kad pengenalan mangsa untuk semakan, perakuan dan kelulusan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed berkaitan penglibatan ADUN pembangkang dalam Jawatankuasa Bencana Daerah, Ahmad Faizal berkata, perkara itu akan diperhalusi.