1,285 graduan Mediu dirai

Sebahagian graduan yang diraikan pada Konvokesyen Mediu Kali Ke-3 di SACC kelmarin.
Sebahagian graduan yang diraikan pada Konvokesyen Mediu Kali Ke-3 di SACC kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) Kali ke-3 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini kelmarin menyaksikan seramai 1,285 graduan menerima sijil masing-masing mengikut peringkat pengajian.

Ijazah kedoktoran (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma kepada graduan daripada enam fakulti pengajian disempurnakan oleh Pengerusi Mediu, Putera Dr Bandar Salman Muhammad Al-Saud.

Pada majlis itu juga, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat atas sumbangan besar beliau bagi hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi termasuk Mediu bersama Kementerian Pendidikan Tinggi Arab Saudi.

Bandar Salman (kanan) menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Mahmoud Hussein.
Bandar Salman (kanan) menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Mahmoud Hussein.

Sementara itu, penceramah dan personaliti televisyen, Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran Tafsir dan Ulum al-Quran menerima Anugerah Pengerusi.

Majlis penuh bersejarah itu dihadiri Pemangku Ketua Eksekutif Mediu, Professor Dr Wan Sulaiman Wan Yusoff.

Wan Sulaiman berkata, dalam tempoh 13 tahun beroperasi Mediu menjadi pilihan pelajar dari 96 negara seluruh dunia dengan jumlah alumni keseluruhan seramai 3,384 orang.

Artikel Berkaitan:


Wan Sulaiman
Wan Sulaiman

Katanya, Mediu bergerak maju dengan fokus kepada pelbagai bidang pendidikan di kampus atau secara dalam talian yang berkaitan dengan keperluan industri setiap negara dan keperluan ummah secara keseluruhan.

“Mediu menjadi wadah baharu dan kontemporari bagi pengajian melalui pembelajaran secara konvensional (on campus) dan secara online dengan menawarkan peluang pengajian inovatif dalam bidang yang pelbagai.

“Mediu juga memantapkan lagi kaedah pendidikan negara dengan mengguna pakai amalan terbaik antarabangsa dan tenaga pensyarah dari luar negara serta menjadi alternatif kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian ke Timur Tengah.

“Sehingga kini, Mediu berjaya membentuk mahasiswa yang memiliki kemahiran berkomunikasi di peringkat antarabangsa. Sistem pendidikan ahasa Arab di Mediu berkesan dalam membina kemahiran dan keupayaaan mengikut keperluan semasa,” katanya.

Bandar Salman (dua dari kanan) bersama Mohd Zamri (kanan), Nur Hafizah (dua dari kiri) serta Al-Fadhli (kiri).
Bandar Salman (dua dari kanan) bersama Mohd Zamri (kanan), Nur Hafizah (dua dari kiri) serta Al-Fadhli (kiri).

Beri pendidikan kepada masyarakat dunia

Salah satu visi penubuhan Mediu ialah sebagai pusat kecemerlangan ilmu pendidikan kepada masyarakat di peringkat dunia.

Wan Sulaiman berkata, ia terbukti apabila Mediu mempunyai lebih 4,000 pelajar di kampus secara konvesional dan secara jarak jauh atau atas talian dari lebih 90 negara dengan penyediaan lebih 80 kursus akademik yang memperoleh akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Mediu mempunyai komitmen yang mantap kepada kecemerlangan akademik dan program berdasarkan merit.

“Dengan itu Mediu sebagai universiti bertaraf antarabangsa turut menyediakan program memperkasakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dengan kursus-kursus setaraf universiti luar negara,” katanya.

Bandar Salman (kanan) menyampaikan PhD, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma kepada 1,285 graduan Mediu yang menamatkan pengajian.
Bandar Salman (kanan) menyampaikan PhD, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma kepada 1,285 graduan Mediu yang menamatkan pengajian.

Wan Sulaiman berkata, Mediu juga memiliki elemen membabitkan inklusi sosial yakni golongan sederhana, miskin dan terpinggir diberi peluang untuk berjaya dengan perkenalkan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar SPM yang akan mengikuti Program Asasi (Pra Ijazah) Bahasa Arab dan Pengajian Islam.

“Program itu bertujuan memberi peluang kepada anak tempatan menyambung pengajian di menara gading dan persediaan selama setahun bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Enam fakulti pengajian ditawarkan iaitu Pengajian Islam, Bahasa, Kewangan dan Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat, Pendidikan serta Kejuruteraan.