'Video MB Perak tular hanya gimik'

Laporan Sinar Harian 8 November lalu. Gambar kecil: Mohd Khusairi Abdul Talib
Laporan Sinar Harian 8 November lalu. Gambar kecil: Mohd Khusairi Abdul Talib
A
A
A

TANJUNG MALIM - Video tular membabitkan perbualan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini disifatkan sebagai gimik Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, apa yang diperkatakan oleh Ahmad Faizal itu cuma sekadar mahu meraih sokongan Melayu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penularan video berkenaan sedikit sebanyak mendedahkan pendekatan politik perkauman yang dilakukan parti di dalam Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.

"Saya tengok pendekatan politik yang diambil sama ada Bersatu ataupun DAP, dia akan bercakap mengikut kepentingan kelompok yang dia pergi.

"Kalau dia pergi kepada kelompok Melayu seolah-olah mereka lebih Melayu daripada Melayu sendiri tapi apabila pergi kepada komuniti Cina mereka akan bercakap perkara yang lain tak kira sama ada DAP atau Bersatu," katanya sebagai mengulas penularan video perbualan Ahmad Faizal bersama pengundi di Tanjung Piai yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Sembang Santai Bersama Bossku di Warung Makan Tokkey Nasi Lemak 50 sen di Jalan Ketoyong 2 Tanjung Malim di sini.

Mohd Khusairi berkata, video tersebut tidak lebih dari sekadar gimik Bersatu untuk meraih sokongan Melayu di Tanjung Piai.

"Mereka akan membawa nada membela kaum di mana sahaja mereka pergi tapi apabila tular video berkenaan beri gambaran sebenar kepada kita.

Artikel Berkaitan:

"Terutama antara kaum apa yang diperkatakan pemimpin Bersatu dalam kalangan komuniti Melayu dan orang Melayu akan tahu apa yang diperkatakan oleh DAP di kawasan majoriti Cina," katanya.

Katanya, realiti sebenar apa yang diperkatakan kononnya terdapat persetujuan tertentu pimpinan atasan mengenai kedudukan DAP di dalam PH itu hanyalah sandiwara semata-mata.

"Bersatu tidak boleh dan tidak mampu menyingkirkan DAP daripada PH memandangkan mereka bukanlah parti yang mempunyai kerusi Parlimen tersebar dalam gabungan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Slim itu berkata, tidak ada bantuan spesifik diberikan terus kepada UMNO seperti dakwaan Ahmad Faizal membantu orang UMNO di Perak.

"Tak tahu pula bantuan apa. Tapi kalau bantuan untuk menyelesaikan isu rakyat yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu mungkin ada dan itu memang jadi tanggungjawab menteri besar.

"Bantuan secara peribadi kepada orang tertentu saya tak tahu. Saya memang tak ada," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.