Tular warga asing marah polis video lama

Tangkap layar kejadian dipercayai seorang lelaki warga Myanmar bertindak memarahi anggota polis.
Tangkap layar kejadian dipercayai seorang lelaki warga Myanmar bertindak memarahi anggota polis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai warganegara Myanmar memarahi polis di sebuah kedai runcit di Skudai merupakan video lama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku tahun lalu di Taman Tan Sri Yaacob.

"Kejadian itu dikesan berlaku pada 2022 di kedai runcit berkenaan, tetapi video itu tular sejak Ahad lalu.

"Suspek merupakan pelanggan kedai runcit tersebut dan sering datang ke premis itu dalam keadaan mabuk serta membuat bising.

"Pemilik kedai runcit sudah mengesahkan bahawa lelaki itu sudah lama tidak datang ke premis berkenaan kerana sudah berpindah," katanya menerusi kenyataan media.

Beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian itu setakat ini.

Dalam pada itu, Rahmat berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya menularkan sesuatu perkara yang tidak pasti serta membuat sebarang andaian.

Sebelum itu, tular di media sosial seorang lelaki dipercayai warga Myanmar memarahi polis di sebuah kedai runcit.

Tindakan lelaki itu mendapat kecaman pengguna media sosial kerana beranggapan warga asing di negara ini sudah berani memarahi pihak polis dan tidak menghormati pihak berkuasa di negara ini.