Cadangan periksa kesihatan wakil rakyat diteliti: Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad akan meneliti cadangan pemeriksaan kesihatan untuk semua wakil rakyat susulan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith pitam dan rebah ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

“Perkara itu sedang kita pertimbangkan. Telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) sebenarnya.

“Kita perlu jaga kesihatan ahli Parlimen kita,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu dicadangkan Khoo Poay Tiong (PH- Kota Melaka) susulan kejadian itu.

“Saya cadangkan Parlimen buat pemeriksaan kesihatan untuk semua 222 ahli Parlimen. Sebab saya lihat rata-rata ahli Parlimen kerja dengan rajin sehingga mereka terlupa jaga kesihatan masing-masing.

“Saya harap Parlimen boleh pertimbangkan,” kata Ahli Parlimen dari DAP itu.

Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah pengsan ketika sesi jawab lisan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan menteri rebah dalam Dewan Rakyat

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Timbalan Speaker, Rashid Hasnon mengarahkan sidang ditangguh 10 minit untuk wakil rakyat itu diberi rawatan perubatan segera sebelum dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN).

Eddin Syazlee, 45, meninggalkan Dewan Rakyat dengan bantuan kerusi roda ke klinik di bangunan Parlimen.

Sidang tertangguh kira-kira lima belas minit sebelum disambung semula jam 10.43 pagi.

Pada 21 Oktober lalu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman mengejutkan ahli Parlimen apabila rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020.

Selepas bantuan awal, Mansor kemudian dilaporkan sedar semula dan dibawa keluar dari dewan dengan kerusi roda.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Nibong Tebal rebah