RUM gesa kerajaan laksana tender terbuka pembelian tren

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) menggesa kerajaan melaksanakan tender terbuka bagi mengurangkan lambakan pembelian set tren dari China selain melihatkan rekod pencapaian set tren yang dibeli dari negara itu.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, kesatuan sememangnya menolak pembelian set tren seperti Lokomotif Dalian dan Six Car Set (SCS) yang diketahui mempunyai banyak masalah.

“Apatah lagi pembelian kesemua tren dari China itu dilakukan menerusi rundingan terus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyambut baik pelaburan syarikat pengeluar lokomotif China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) sebagai usaha menjadikan negara ini sebagai hub pembuatan kereta api bagi pasaran ASEAN.

Abdul Razak berkata kerajaan terdahulu telahpun membelanjakan kira-kira RM5.7 bilion bagi membeli 100 unit tren tanpa tender terbuka daripada syarikat kereta api China sejak tahun 2012.

Syarikat kereta api itu juga telah membuat tawaran untuk membekal 30 unit gerabak elektrik (Elektrik Loko) dan ini dibantah pihak kesatuan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) disebabkan penggunaannya yang terhad berbanding gerabak diesel (Diesel Loko).

“Jika Elektrik Loko itu dibeli juga, maka KTMB terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM100 juta bagi menaik taraf sistem elektrifikasi,” katanya. - Bernama