PPPMM gesa KKM semak tender membekal label keselamatan hologram

PPPMM gesa Menteri Kesihatan melihat semula isu tata kelola tender membekal label keselamatan hologram bagi produk farmaseutikal yang berdaftar dengan KKM. - Gambar hiasan
PPPMM gesa Menteri Kesihatan melihat semula isu tata kelola tender membekal label keselamatan hologram bagi produk farmaseutikal yang berdaftar dengan KKM. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melihat kembali isu tata kelola berhubung tender membekal label keselamatan hologram bagi produk farmaseutikal yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Presidennya, Datuk Badruddin Abu Bakar, tender bernilai lebih RM120 juta itu terbuka kepada pembekal yang mana hanya perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja.

Jelas beliau, sebarang cetakan hologram syarat-syarat diperlukan adalah mempunyai lesen Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Surat Kelulusan Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan (CGSO), Jabatan Perdana Menteri) serta dikhaskan kepada syarikat 100 peratus bumiputera.

Ujarnya, pembekal juga mempunyai sistem e-Perolehan (EP) bagi penawaran produk dan perkhidmatan kepada kerajaan.

“EP bertindak sebagai medium alternatif untuk para pembekal mendaftar atau memperbaharui sijil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

“Apa fungsi EP jika tender yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan hanya memerlukan pembekal berdaftar dengan SSM sahaja,” soalnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Badruddin menambah, harga dokumen tender tersebut turut dilihat terlalu mahal kerana bernilai RM5,000 dan tidak dikembalikan sekiranya gagal memperolehinya.

Jelas beliau, dengan nilai yang terlalu tinggi itu, ia pasti akan menghadkan kebanyakan pembekal untuk mengambil bahagian bagi mendapatkan dokumen berkenaan.

“Tempoh serahan dokumen-dokumen serta contoh barang yang terlalu singkat iaitu selama 21 hari. Semua dokumen perlu diserahkan secara manual.

“Pihak PPPMM juga berasa amat kecewa kerana perkara ini telah menidakkan peluang bagi pembekal-pembekal yang mempunyai mesin percetakan label keselamatan hologram yang diiktiraf CGSO,” luahnya.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan juga terus memberi ruang, perhatian, peluang dan sokongan sewajarnya kepada pencetak bumiputera.

“Semua ahli di dalam persatuan ini supaya terus bersatu demi kelangsungan industri pencetakan bumiputera serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan serta daya saing yang sihat dalam bidang ini,” tegasnya.