Kajian pindaan akta ibu kota tidak sentuh kuasa Agong, Raja-Raja - Hannah

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberikan jaminan bahawa kajian kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang sedang dilaksanakan, tidak akan dibuat secara terburu-buru tanpa mengambil kira sejarah pembentukan Kuala Lumpur serta peruntukan sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sejarah ialah aspek penting yang akan dihormati dalam kajian berkenaan.
"Kita tunggu dahulu hasil kajian. Saya akan pastikan ia dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan. Kita tidak akan menyentuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong ataupun kuasa-kuasa Raja-Raja.
"Saya beri jaminan jangan risau kerana yang akan diwujudkan dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ialah berasaskan undang-undang, bukan sahaja Akta Ibu Kota sedia ada, tetapi kita menghormati semua kuasa Raja, kuasa Eksekutif dan kuasa Legislatif serta sejarah pembentukan Kuala Lumpur,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengambil kira aspek sejarah Kuala Lumpur dalam kajian kebolehlaksanaan pindaan akta berkenaan.
Sebelum ini, Hannah berkata, kajian kebolehlaksanaan cadangan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, termasuk pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, dijangka selesai pada hujung bulan ini.
Kajian menyeluruh oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertujuan melaksanakan reformasi tadbir urus DBKL, susulan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen pada November 2025.
Menyentuh kebimbangan bahawa kajian berkenaan menunjukkan hasrat untuk mengubah kuasa pelantikan Datuk Bandar yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Hannah berkata kajian itu telah diberikan kepada UIAM sebelum beliau dilantik sebagai Menteri.
"Kajian ini telah diberikan kepada UIAM sebelum saya masuk kementerian, sebelum saya dilantik sebagai Menteri Wilayah. Kajian itu telah dimuktamadkan dan diberikan kepada UIAM awal Disember (tahun lepas). Saya masuk 17 Disember.
"Jadi, sangkaan bahawa Menteri DAP hendak menyentuh kuasa itu tidak benar. Kajian ini telah wujud sebelum saya masuk,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam kajian kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960
- Kajian akan menghormati sejarah pembentukan Kuala Lumpur dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja
- Hasil kajian akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan
- Kajian kebolehlaksanaan melibatkan reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- Tujuan kajian termasuk pemikiran mengenai pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
