Tiada bukti dana judi, Gerakan gesa PM mohon maaf terbuka

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. - Gambar kecil: Baljit
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. - Gambar kecil: Baljit
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf secara terbuka mengenai dakwaan Perikatan Nasional (PN) mendapat sumbangan daripada dana judi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk Baljit Singh berkata, hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah, termasuk sumber dana oleh parti-parti dalam PN ketika PRU15.

“Jawapan yang diberi oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) (Datuk Seri Azalina Othman Said) semasa persidangan Dewan Rakyat pada Khamis membuktikan PN berada di pihak benar bukan seperti mana dikatakan oleh kerajaan campuran.

“Ini menunjukkan tuduhan dilemparkan Anwar bertarikh 5 Disember 2022 tidak berasas. Hanyalah untuk menjatuhkan PN dan mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Azalina dan SPRM kerana menjalankan tanggungjawab dan siasatan dengan tulus serta jujur.

“Saya berharap selepas ini penyokong-penyokong PN tidak termakan atau terpengaruh dengan segala tuduhan-tuduhan yang lemparkan oleh kerajaan campuran.

"Mereka (kerajaan campuran) sudah mula goyang sebab itu hanya fitnah menjadi makanan agar PN buruk di mata rakyat," tegasnya.

Sehubungan itu, Baljit menggesa rakyat Malaysia untuk memberi pengajaran dengan mengundi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.