PLKN platform penting lahir pemimpin kental - Johari Abdul

KUALA LUMPUR - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menjadi platform penting dalam melahirkan pemimpin muda yang berjiwa besar dan kental, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata, pelaksanaan semula PLKN bukan sekadar program latihan fizikal dan disiplin, sebaliknya dirangka sebagai wadah untuk membentuk kepimpinan generasi baharu yang mampu mewarisi kepimpinan negara dengan penuh tanggungjawab.
"Negara rantau ini melihat kita sebagai negara yang hebat, negara yang dihormati. Untuk itu kita mesti mempunyai platform untuk melahirkan pemimpin yang hebat dan kental. Inilah program yang kita adakan, program PLKN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 1/2026 PLKN 3.0 membabitkan 277 pelatih di Kem 515 Askar Wataniah di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya'cob Samiran.
Johari berkata, melalui PLKN 3.0, pelatih yang datang daripada pelbagai latar belakang dan kaum didedahkan kepada semangat perpaduan dan integrasi nasional serta pengalaman hidup bersama sepanjang 45 hari latihan yang memberi ruang kepada mereka untuk saling mengenali dan membina persefahaman, sekali gus memupuk semangat kebersamaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemimpin masa depan perlu memiliki impian besar serta keberanian untuk melakukan perubahan namun perlu didukung dengan ilmu pengetahuan.
"Kena ada impian, anda semua kena ada impian yang besar. Negara ini akan diwarisi oleh anda semua. Pemimpin hari ini akan pergi satu hari nanti dan negara ini mesti ditinggalkan kepada pemimpin seperti anda,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas kepercayaan yang diberikan kepada PLKN untuk melatih anak mereka serta kepada jurulatih dan media atas sokongan yang diberikan terhadap program berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dianggap penting untuk melahirkan pemimpin muda berjiwa besar dan kental
- Pelaksanaan semula PLKN bukan hanya latihan fizikal dan disiplin, tetapi juga pembentukan kepimpinan generasi baharu
- Program ini bertujuan untuk melahirkan pemimpin hebat dan dihormati menerusi platform PLKN
- PLKN 3.0 membawa pelatih dari pelbagai latar belakang untuk mengalami semangat perpaduan dan integrasi nasional selama 45 hari
- Pemimpin masa depan harus memiliki impian besar, keberanian untuk berubah dan didukung dengan ilmu pengetahuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
