Empat suspek kes curi tabung masjid dituduh esok

Shazeli bersalaman dengan petugas media selepas selesai sidang media di IPD Shah Alam pada Isnin.
Shazeli bersalaman dengan petugas media selepas selesai sidang media di IPD Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Empat suspek kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7 di sini akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya sudah menerima arahan untuk menuduh semua suspek mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan mendapati tindakan kesemua suspek adalah bermotifkan curi dan tidak mempunyai sebarang unsur provokasi atau elemen lain.

"Dalam kejadian itu, kerugian hanya dianggarkan RM450. Ini kerana aktiviti infak dan sumbangan tabung masjid itu menggunakan kaedah transaksi pembayaran respons pantas (QR).

"Ini juga salah satu inisiatif yang bagus daripada pihak masjid," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan semua jawatankuasa surau dan masjid supaya sentiasa memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) disenggara dengan baik.

Katanya, rakaman CCTV menjadi titik permulaan penting kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan dan tindakan susulan.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian mencuri tabung masjid berkenaan pada 22 Februari lalu.

Susulan itu, operasi dijalankan pada 22 dan 24 Februari antara jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi di beberapa lokasi termasuk Seksyen 13, Shah Alam; hadapan Sky Suite KLCC; Arte Subang West serta Pangsapuri Tanjung, Seri Kembangan.

Artikel Berkaitan:

Operasi berkenaan membawa kepada penahanan empat lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 26 tahun.

Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan kes dadah lampau, manakala seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Avanza dan empat unit telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Ringkasan AI

  • Empat suspek kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7 di Shah Alam akan dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan
  • Tindakan suspek bermotifkan curi tanpa unsur provokasi
  • Kerugian akibat curi hanya RM450 kerana masjid menggunakan kaedah transaksi QR
  • Ketua Polis Selangor menasihatkan surau dan masjid untuk menyenggara sistem CCTV dengan baik
  • Empat lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 26 tahun ditahan, semua mempunyai rekod jenayah dan kes dadah lampau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!