Pergolakan Sudan: Penuntut Malaysia dalam keadaan selamat

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 105 penuntut Malaysia di Sudan berada dalam keadaan selamat dan sudah boleh menjalani kehidupan mereka seperti biasa, susulan pergolakan di Khartoum.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan berkata, lima penuntut sudah kembali ke Malaysia.

"Pergolakan itu berlaku di sekitar Khartoum membabitkan kawasan Araba, yang jaraknya 10 hingga 15 kilometer (km) dari penempatan penuntut Malaysia.

"Kawasan lain yang berlaku rusuhan adalah Atbara dan Gedarif yang jaraknya 350 km dari Khartoum, di mana keadaan di kawasan tersebut pada masa sekarang adalah terkawal," katanya.

Kementerian berkata, pihaknya yang menghubungi Kedutaan Malaysia di Khartoum dimaklumkan bahawa universiti-universiti di Sudan yang ditutup sejak dua minggu lalu akan dibuka semula selepas mendapat makluman daripada pihak berkuasa negara itu.

"Kedutaan Malaysia di Sudan terus mengambil langkah berjaga-jaga dan menasihatkan penuntut-penuntut Malaysia agar kembali ke tanah ketika universiti-universiti ditutup," katanya.

Sejak 19 Disember lalu, rakyat Sudan melakukan protes di jalan raya di Khartoum selepas kerajaan negara itu bertindak menaikkan kos roti dan akan mengakibatkan kos sara hidup meningkat.

Artikel Berkaitan: