Tokan junior kena cekup polis

Antara paket dadah yang dirampas.
Antara paket dadah yang dirampas.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan dua tokan yang baru berjinak dengan kegiatan pengedaran dadah mengundang padah selepas diberkas dalam serbuan berasingan sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan pertama kira-kira jam 12.15 tengah malam di tepi Jalan Nagasari A, Seksyen 36 membabitkan suspek berusia 29 tahun.

“Polis telah merampas beg galas daripada suspek terbabit dan pemeriksaan menemui 13 paket lutsinar berisi bahan serbuk berwarna putih disyaki heroin seberat 26.58 gram (g).

"Turut dirampas sepaket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki syabu seberat 1.42g,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata, semakan turut mendedahkan suspek yang telah aktif sejak tiga bulan lalu ini memiliki empat rekod bersabit kes dadah.

Selain itu, polis juga merampas 12 paket dadah jenis heroin seberat 17.7g di poket seluar pendek dipakai suspek kedua berusia 19 tahun yang ditahan kira-kira jam 11.45 pagi di Jalan Batu 8, Kampung Jawa.

Katanya, suspek yang telah aktif sejak empat bulan lalu ini juga dikesan memiliki 23 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Ujian air kencing yang dijalankan mengesahkan kedua-dua suspek ini positif dadah. Kedua-dua mereka direman tujuh dan lima hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, menerusi Ops Sarang yang dilaksanakan kira-kira jam 11.50 malam, di sekitar Flat Andora, Seksyen 25, di sini, berjaya menahan 11 lelaki berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun dengan rampasan sepaket ganja seta cecair minuman disyaki ketum.

Tambahnya, dianggarkan nilai dadah keseluruhan yang dirampas berjumlah RM10,000.