20 tahun 'dihurung' lalat

Meor Razak (dua dari kanan) bersama wakil penduduk dan NGO yang hadir menyerahkan aduan penduduk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak hari ini.
Meor Razak (dua dari kanan) bersama wakil penduduk dan NGO yang hadir menyerahkan aduan penduduk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Lebih 500 penduduk di empat kampung di Segari yang dihantui gangguan lalat sedia mempertimbangkan tindakan saman terhadap agensi dan jabatan kerajaan berikutan kegagalan pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Wakil penduduk, Ismail Ibrahim, 53, berkata, tindakan itu berikutan gangguan lalat yang semakin serius dan menyusahkan penduduk dilihat berpunca daripada kegagalan pihak berkaitan bertindak meskipun aduan kerap kali dibuat.

"Sudah terlalu lama kami tanggung dan banyak aduan dibuat, media juga kerap melaporkan masalah kami ini, tetapi masih juga tiada tindakan daripada pihak berkaitan.

"Kami percaya setiap masalah boleh diselesaikan sekiranya dilakukan mengikut SOP (prosedur kerja standard) termasuklah dalam isu lalat ini.

"Namun jika masih juga sama keadaannya, terpaksalah kami cari jalan melalui tindakan saman pula," katanya selepas menyerahkan aduan berhubung isu gangguan lalat dan pencemaran air yang dihadapi penduduk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak di sini hari ini.

Masalah gangguan lalat di Kampung Batu 8, Batu 9, Batu 10 dan Kampung Sungai Gelam yang berlarutan sejak dua dekad itu dipercayai berpunca daripada aktiviti ladang ternakan ayam.

Keadaan itu turut menyebabkan berlakunya pencemaran air parit yang bukan sahaja mengeluarkan bau busuk malah menyebabkan masalah kegatalan kulit kepada komuniti setempat.

Selain Jabatan Perkhidmatan Veterinar aduan sama telah dibuat penduduk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Mazeli Md Desa, 44, berkata, setiap kali aduan dibuat, pihak berkaitan turun padang menjalankan pemeriksaan dan kemudian melakukan semburan kabus (fogging) di beberapa tempat dalam tempoh singkat.

Katanya, keadaan itu sama sekali tidak membantu menyelesaikan masalah terbabit yang telah memberi kesan buruk kepada imej kampung dan kesihatan penduduk.

"Setiap kali aduan dibuat, tindakan seperti itu jugalah yang akan diulang, bukannya penguatkuasaan tegas atau pemantauan berkala.

"Kesannya sampai sekarang, duduk luar banyak lalat, dalam rumah pun diganggu lalat sampai orang panggil kampung kami 'kampung pening lalat'," katanya.

Zubaidah Zakaria, 49, yang menjual nasi lemak dan berniaga pasar malam mengakui, mereka sudah tidak sanggup lagi berdepan masalah itu untuk tempoh lebih lama.

Jelasnya, ada pelanggan khususnya orang luar yang mencemuh kerana keadaan kotor dikelilingi lalat dan tidak kurang mengadu sakit perut.

"Biarlah kami pakat-pakat cari duit sama-sama untuk uruskan saman, mungkin ini cara untuk mereka bertindak, kami sanggup daripada biarkan keadaan terus berlarutan," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, isu berkenaan bukan masalah baru tetapi tidak ada tindakan bersungguh daripada pihak berkuasa untuk menanganinya.

Katanya, pada Julai lalu, satu mesyuarat diadakan membabitkan Pasukan Petugas Khas Tindakan Isu Gangguan Lalat dari Perusahaan Ternakan Ayam yang turut dihadiri wakil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Mesyuarat itu memutuskan untuk diambil penguatkuasaan tegas terhadap pihak-pihak yang menyebabkan berlakunya isu lalat dan pencemaran air, tetapi dukacita sehingga kini masalah sama masih membelenggu penduduk," katanya.