Isu nama perajurit selesai selepas 30 tahun

TAPAH - Kerajaan Perak menamatkan penantian lebih tiga dekad bekas perajurit untuk mengembalikan identiti kawasan penempatan mereka di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dekat Bidor.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, penyelesaian itu dicapai melalui kelulusan penggunaan nama 'RPT Perajurit Bidor@Taman Seri Bidor' selepas penelitian menyeluruh melibatkan aspek sejarah, perundangan dan pentadbiran.
Menurut beliau, kawasan berkenaan merupakan tanah kurniaan Sultan Perak kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1987 sebelum dibangunkan sebagai kawasan perumahan pada awal 1992.
“Namun selepas kawasan ini siap diduduki dan cukai taksiran mula dikenakan pada tahun 1994, nama Taman Seri Bidor digunakan dalam sebahagian urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan, sedangkan hak milik tanah masih menggunakan nama RPT Perajurit Bidor.
“Perbezaan penggunaan nama ini menimbulkan kekeliruan berpanjangan melibatkan urusan alamat, cukai, utiliti dan dokumentasi rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke RPT Perajurit Bidor, Taman Seri Bidor di sini pada Isnin yang turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Sandrea berkata, kerajaan negeri menyedari kepentingan nama asal RPT Perajurit Bidor yang membawa nilai sejarah, identiti dan pengiktirafan terhadap jasa serta pengorbanan bekas perajurit yang menetap di kawasan tersebut.
Ujarnya, tindakan susulan akan diambil bagi memastikan keseragaman penggunaan nama baharu itu dalam semua urusan rasmi bagi melancarkan tadbir urus pentadbiran.
"Keputusan ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis dan secara rasmi berkuat kuasa mulai hari ini, melibatkan kira-kira 371 pemilik rumah di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau menambah, isu berkenaan kembali dibangkitkan Persatuan Veteran ATM Perak kepada Menteri Besar pada April tahun lalu menerusi program hari bertemu pelanggan yang membawa kepada keputusan muktamad pada Isnin.
“Walaupun mengambil masa lebih 30 tahun, penduduk tidak pernah jemu memperjuangkan isu ini.
"Kerajaan negeri akan sentiasa mengambil kira sejarah serta pandangan komuniti dalam setiap keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Perak, Mazlan Umar berkata, tanah berkenaan pada asalnya dianugerahkan kepada 385 bekas perajurit yang menetap di sekitar daerah Batang Padang sebagai penghargaan atas khidmat bakti mereka mempertahankan negara.

Katanya, kebanyakan penerima terlibat secara langsung dalam operasi keselamatan ketika era darurat kedua sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, ketika ancaman pengganas komunis masih wujud.
"Sekarang hanya kira-kira 50 orang bekas perajurit yang masih menetap di sini, kebanyakannya berusia 70 tahun ke atas, manakala selebihnya telah meninggal dunia, ada juga telah mewariskan tanah kepada generasi seterusnya.
"Bagi pihak rakan-rakan veteran dan penduduk RPT ini, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terharu kepada kerajaan negeri. Kami telah lama memperjuangkan isu ini dan hari ini saya berasa lega, seolah-olah turut merasai kemerdekaan sekali lagi," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak menamakan semula kawasan RPT dekat Bidor sebagai 'RPT Perajurit Bidor@Taman Seri Bidor' untuk mengatasi kekeliruan penggunaan nama
- Kawasan itu dianugerahkan kepada bekas anggota ATM pada tahun 1987 dan dibangunkan sebagai kawasan perumahan pada awal 1992
- Perbezaan nama antara hak milik tanah dan urusan pentadbiran menimbulkan masalah alamat, cukai dan utiliti
- Keputusan menamakan semula melibatkan kira-kira 371 pemilik rumah di kawasan tersebut
- Isu tersebut telah dibangkitkan oleh Persatuan Veteran ATM Perak pada April tahun lalu, mengambil masa lebih 30 tahun untuk diselesaikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


