Gangguan lalat jejas rutin harian penduduk Sitiawan

Mohamad Azam (dua dari kiri) menunjukkan pelekat yang digunakan penduduk bagi memerangkap lalat yang sering mengganggu kehidupan mereka di Sitiawan. Gambar kecil: Ahmad Firdaus
Mohamad Azam (dua dari kiri) menunjukkan pelekat yang digunakan penduduk bagi memerangkap lalat yang sering mengganggu kehidupan mereka di Sitiawan. Gambar kecil: Ahmad Firdaus
A
A
A

BERUAS - Penduduk sekitar Sitiawan merayu agar kerajaan Perak segera menyelesaikan masalah gangguan lalat yang menjejaskan kehidupan harian mereka sejak tahun lalu.

Mereka mendakwa kawasan perumahan yang baharu diduduki itu terletak berhampiran dengan lebih 30 ladang ternakan ayam yang menjadi punca gangguan lalat.

Wakil penduduk, Mohamad Azam Abd Rani, 49, berkata, beberapa aduan disalurkan kepada pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah itu namun sehingga kini masih belum ada tindakan yang berkesan diambil.

Menurutnya, ladang terbabit beroperasi secara terbuka itu terletak dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan perumahan.

"Setiap kali ayam dibawa keluar untuk dijual, masa itulah lalat banyak menyerang berbanding sepanjang Ramadan lalu kami tidak diganggu langsung kerana ladang ini masih menternak ayam.

"Ini bermakna, gangguan lalat boleh dihentikan cuma pihak berkaitan perlu mencari mekanisme terbaik dalam memastikan operasi ladang tidak mengganggu rutin harian kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Mohamad Azam berkata, penduduk merasa tidak selesa dengan keadaan itu dan bimbang dengan penyakit bawaan serangga terbabit yang boleh menjejaskan kesihatan.

"Kami menyesal beli rumah kerana tidak mengetahui masalah utama di kawasan ini. Hendak solat pun muka dihurung lalat hingga mengganggu tumpuan.

"Kami juga seolah-olah berada dalam penjara hinggakan tidak boleh buka pintu dan tingkap, memang rasa tertekan," ujarnya.

Bagi pekerja swasta, Ahmad Firdaus Mohd Sani, 38, dia menyifatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu lalu sebagai satu bencana apabila banyak lalat menyerang rumah penduduk.

"Keadaan itu agak luar biasa berbanding hari lain hinggakan terpaksa borong pelekat lalat selain mop lantai berkali-kali. Pakaian putih yang disidai akan menjadi tompok-tompok hitam kerana dihinggapi lalat.

"Keadaan yang berterusan ini menyebabkan kaum ibu lebih tertekan selain malu dengan tetamu yang datang beraya hingga terpaksa menjelaskan keadaan sebenar," katanya.

Tambah Ahmad Firdaus, penggunaan racun serangga dibimbangi akan menjejaskan tahap kesihatan keluarga jika digunakan secara berterusan.

"Saya mengambil iktibar dengan kejadian penduduk yang termakan racun yang disangkanya serbuk asam masin ketika mahu mencicah mempelam hingga dimasukkan ke hospital.

"Saya harap kerajaan negeri dapat bantu penduduk di kawasan ini kerana kebanyakan penduduk merupakan pesara yang mahu menjalani kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri akan membentangkan pindaan enakmen berkaitan unggas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi menangani isu melibatkan ternakan ayam di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan undang-undang itu penting bagi menangani isu seperti masalah lalat yang dihadapi sebahagian penduduk di negeri ini.

"Isu lalat ini bukan disebabkan ternakan ayam semata-mata sebaliknya disebabkan pengusaha tanaman kelapa sawit yang menggunakan tinja ayam sebagai baja. Walaupun baja kering, apabila buka guni hujan turun lalat akan menghurung," jelas beliau.