Mana benih padi kami?

Petani di kawasan Tunjang berpiket memohon benih padi dihantar segera kepada mereka.
Petani di kawasan Tunjang berpiket memohon benih padi dihantar segera kepada mereka.
A
A
A

JITRA - Kira-kira 500 petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di kawasan Tunjang di sini tidak dapat melaksanakan kerja menabur benih padi di sawah disebabkan terputus bekalan.

Seorang petani, Shaari Sudin, 70, berkata, lebih membimbangkan tarikh akhir menabur sudah pun berlalu dan situasi itu akan menyebabkan masalah bekalan air kepada sawahnya.

Menurutnya, pada musim tanaman padi sebelum ini, dia menggunakan benih padi jenis Siraj MR297 untuk 12 hektar sawahnya di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, bagi musim ini saya tidak menerima bekalan benih berkenaan.

"Apabila diadu ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), alasannya benih berkenaan kehabisan stok," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, jika keadaan itu masih berterusan, dia terpaksa mencari alternatif lain termasuk membeli benih padi jenis CL2 atau MR269 di kedai.

"Tetapi harga di kedai lebih mahal kerana tiada subsidi selain benih berkenaan tidak berkualiti. Jadi ia akan memberi kesan kepada pendapatan kami kelak apabila hasil tidak memberangsangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shaari menunjukkan tapak sawah di Kampung Ketoi, Tunjang yang sudah dibajak dan menanti kerja-kerja menabur benih padi dilaksanakan
Shaari menunjukkan tapak sawah di Kampung Ketoi, Tunjang yang sudah dibajak dan menanti kerja-kerja menabur benih padi dilaksanakan

Bagi Saarin Osman, 66, kerajaan seharusnya membekalkan kuota benih padi yang mencukupi untuk menampung keperluan petani dalam kawasan Mada.

"Berdasarkan kiraan kami, sebanyak tujuh beg benih padi iaitu bersamaan dengan 140 kilogram (kg) diperlukan bagi setiap satu hektar sawah.

"Jika keperluan ini tidak dapat dipenuhi, petani di kawasan ini berisiko kerugian ribuan ringgit dan akan menjejaskan pendapatan kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Md Zain turut mencadangkan agar kerajaan memberikan kuota benih padi mengikut zon kepada Mada Corp dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sahaja.

"Cadangan ini juga supaya kedua-dua agensi ini dapat bekerjasama untuk mengawal kuota benih selain mengenalpasti jenis-jenis benih padi yang sesuai di kawasan terbabit," katanya

Tambahnya, bekalan benih padi di negara ini tidak seharusnya dimonopoli oleh syarikat swasta atau pihak lain yang tidak terlibat secara langsung dalam industri padi.

"Cadangan yang lebih baik adalah petani diberi 100 peratus subsidi bagi input pertanian supaya mereka dapat memberi sumbangan berterusan kepada bekalan makanan negara," katanya.