Kedudukan PH di Sungai Petani ibarat menanti rebah

Keputusan PRN kali ini adalah kesinambungan kekalahan teruk PH pada pada PRU15 yang lepas. Gambar kecil: Muhammad Ehsan
Keputusan PRN kali ini adalah kesinambungan kekalahan teruk PH pada pada PRU15 yang lepas. Gambar kecil: Muhammad Ehsan
A
A
A

PILIHAN raya Negeri (PRN) baru sahaja melabuhkan tirainya Sabtu lalu dan seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum penamaan calon, Kedah akan menyumbang keputusan yang cemerlang kepada Perikatan Nasional (PN).

Jangkaan yang dibuat adalah tepat di mana PN memperoleh 33 kerusi, penambahan dari 18 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas. Manakala Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) kehilangan 18 kerusi yang dimenangi pada PRU14 yang lepas.

Keputusan PRN kali ini adalah kesinambungan kekalahan teruk PH pada pada PRU15 yang lepas. PH hanya berjaya memperoleh satu kerusi Parlimen menerusi Dr Taufiq Johari.

Beliau berjaya meraih undi sebanyak 50,590 mengalahkan Dr Robert Ling dari PN yang meraih undi 49,465 undi.

Apa yang menarik di Parlimen Sungai Petani ini, walaupun pada PRU lepas, Parlimen Sungai Petani dimenangi PH dengan majoriti 1,115, namun pada PRN ini ia menggambarkan sebaliknya.

Undi ketiga-tiga DUN di bawah Parlimen Sungai Petani iaitu Pantai Merdeka, Bakar Arang dan Sidam kepada PN adalah sebanyak 71,336, manakala PH-BN 52,282 dengan majoriti sebanyak 19,054.

Angka besar ini sepatutnya merisaukan PH-BN kerana jika dalam masa lima tahun sebelum PRU16 tiada apa-apa tindakan oleh PH untuk mengekalkan Parlimen Sungai Petani di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), ia pasti tersungkur.

PH gagal meraih undi dari rakan sekutunya BN apabila hanya mendapat penambahan undi sebanyak 1,702 undian sahaja daripada PRU15 yang lepas, manakala undian PN meningkat sebanyak 21,871 undian.

Artikel Berkaitan:

Ini menunjukkan gabungan PH-BN ini gagal meraih undi total daripada penyokong PH dan penyokong BN.

Apabila dilihat daripada campuran undi PH dan BN pada PRU15 yang lepas, BN mendapat 27,391 dan PH mendapat 50,580.

Apabila dicampurkan keduanya, PH pada PRN Kedah kali ini sepatutnya mendapat undian sebanyak 77,971, namun berlaku sebaliknya. Ini menunjukkan bahawa undian PH-BN mengurang sebanyak 25,689.

Di antara faktor penurunan ini adalah disebabkan undi protes daripada BN dan segelintir penyokong PH.

PH-BN masih mempunyai masa lagi bagi menarik semula sokongan rakyat Sungai Petani kepada PH-BN pada PRU16 yang akan datang.

Strategi ampuh perlu dirangka oleh PH bagi menjamin Sungai Petani menjadi 'fixed deposit' kepada PH, kerusi yang dimenangi semenjak PRU13 lagi.

Jika PH lambat bertindak, maka Sungai Petani bakal rebah pada PRU16 akan datang.

*Muhammad Ehsan Shaari merupakan Pegawai Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera