Empat renjer cedera letupan bom di Yala

Foto: Bangkok Post
A
A

YALA - Empat renjer cedera dalam letupan bom di Bannang Sata, Yala, Selatan Thailand hari ini.

Kejadian itu telah mencemari lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsiwan ke Pattani dan Yala untuk meninjau projek pembangunan.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Pol Prabpal Meemongkol berkata, dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi (waktu tempatan) di Kampung Wang Hin, keempat-empat renjer itu sedang menaiki sebuah pacuan empat roda dalam perjalanan pulang dari hospital ke markas renjer.

“Bom buatan sendiri seberat 10 hingga 15 kilogram itu dipercayai ditinggalkan di tepi jalan dan kemudian diaktifkan dengan walkie-talkie.

“Ketika tiba di tempat kejadian, polis menemui empat renjer mengalami kecederaan. Kenderaan pacuan empat roda itu rosak teruk dan menyebabkan lubang besar di jalan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Keempat-empat renjer itu kemudian dihantar ke Hospital Benang Sata untuk rawatan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Kongcheep Tantrawanich berkata, semasa lawatan ke selatan Thailand hari ini, Prawit diberi taklimat mengenai pembangunan terkini Wilayah Sempadan Selatan di Pusat Pentadbiran WIlayah Sempadan Selatan (SBPAC) di Yala.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi, sosial dan sumber manusia di selatan Thailand yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan serta meningkatkan pendapatan mereka menunjukkan kemajuan positif dalam semua aspek.

“Jeneral Prawit juga berterima kasih kepada pihak berkuasa berkaitan yang menjaga serta memberikan bantuan dan keadilan kepada rakyat," katanya,

Jeneral Prawit turut menyaksikan majlis menandatangani projek penanaman kopi serta merasmikan taman perindustrian pertama di tiga wilayah sempadan. - Bernama