Rembayung Khairul Aming, turut ganggu sistem restoran lain di luar negara

SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Tempahan luar biasa restoran Rembayung milik pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, yang menggunakan sistem sebuah syarikat antarabangsa turut menyebabkan gangguan kepada beberapa restoran lain di luar negara yang menggunakan platform yang sama.
Gangguan tersebut berlaku apabila puluhan ribu pengguna cuba mengakses sistem tempahan dalam tempoh singkat, menyebabkan sistem berkenaan gagal berfungsi sepenuhnya dan mengalami ‘crash’.
Difahamkan, tempahan bagi tempoh tujuh hari bermula 6 Januari itu menerima sambutan di luar jangkaan apabila kira-kira 70,000 individu cuba membuat tempahan, namun restoran berkenaan hanya dibuka kepada 3,000 pelanggan terawal.
Situasi itu mengakibatkan sistem tempahan dalam talian tersebut tidak mampu menampung beban trafik serentak yang tinggi, sekali gus mencetuskan kesan rantaian kepada restoran lain yang turut menggunakan perkhidmatan platform sama.
Khairul Aming menerusi siaran langsung di media sosial pada Malam Ahad, memaklumkan pasukannya sedang berusaha menambah baik pengurusan tempahan agar pengalaman pelanggan dapat dipertingkatkan pada masa akan datang, susulan permintaan yang jauh melebihi jangkaan.
Sementara itu, menurut satu sumber, beberapa restoran di luar negara yang menggunakan sistem tempahan syarikat sama dipercayai mengalami gangguan operasi selama kira-kira tiga jam, antara 9 malam hingga 11 malam, bertepatan dengan waktu promosi pembukaan tempahan restoran Rembayung dibuat menerusi platform TikTok.
Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati sebuah restoran terkemuka terpaksa menutup sementara tempahan bagi tarikh 4 dan 5 Januari, sebelum dibuka semula pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, Sinar Harian telah mengemukakan pertanyaan melalui e-mel kepada syarikat terbabit bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung insiden tersebut, namun setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas.
Berdasarkan maklumat di laman web syarikat berkenaan, mereka menyediakan sistem pengurusan restoran yang merangkumi pengendalian tempahan pelanggan, pengurusan inventori, kempen pemasaran serta program kesetiaan pelanggan bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pengguna.
Ringkasan AI
- Restoran Rembayung milik Khairul Aming menerima tempahan luar biasa menyebabkan gangguan pada sistem tempahan antarabangsa
- Gangguan berlaku apabila 70,000 individu cuba membuat tempahan dalam masa singkat sehingga sistem crash
- Hanya 3,000 pelanggan terawal yang berjaya membuat tempahan untuk tempoh tujuh hari bermula 6 Januari
- Gangguan menyebabkan kesan rantaian kepada restoran lain yang menggunakan perkhidmatan platform sama
- Khairul Aming berusaha menambah baik pengurusan tempahan agar pengalaman pelanggan dapat dipertingkatkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

