Budak 6 tahun maut dicampak dari bumbung selepas dirogol berkumpulan

UTTAR PRADESH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas menjadi mangsa rogol berkumpulan sebelum dicampak dari bumbung sebuah bangunan di daerah Bulandshahr, negeri Uttar Pradesh, India.
Menurut pihak polis, kejadian berlaku pada Jumaat lalu ketika mangsa sedang bermain di teres bangunan kediamannya.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah selepas dicampak dari bumbung, segera dikejarkan ke hospital berhampiran, namun disahkan meninggal dunia.
Susulan laporan dibuat oleh bapa mangsa, pihak polis menubuhkan tiga pasukan khas bagi memburu suspek.
Dua lelaki, dikenali sebagai Raju dan Veeru, berjaya diberkas pada Jumaat malam selepas berlaku pertempuran senjata singkat dengan polis di kawasan perindustrian Sikandrabad.
Ketua Polis Daerah Bulandshahr, Dr Tejveer Singh berkata, kedua-dua suspek melepaskan tembakan ketika cuba ditahan, menyebabkan pihak polis bertindak balas.
Suspek mengalami kecederaan tembakan di bahagian kaki sebelum ditahan dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Dua pucuk senjata api bersama peluru turut dirampas di lokasi kejadian,” katanya.
Siasatan awal mendapati mangsa tinggal di bangunan yang sama dengan suspek.
Polis turut memaklumkan bahawa dalam sesi soal siasat awal, kedua-dua lelaki itu mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kes ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak serta isu jenayah seksual di India. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Uttar Pradesh, India, meninggal dunia akibat rogol berkumpulan dan dicampak dari bumbung
- Kejadian berlaku di daerah Bulandshahr ketika mangsa sedang bermain di teres bangunan kediamannya
- Pihak polis menubuhkan tiga pasukan khas untuk memburu suspek setelah bapa mangsa membuat laporan
- Dua lelaki, Raju dan Veeru, ditahan oleh polis selepas pertempuran senjata di kawasan perindustrian Sikandrabad
- Mangsa tinggal dalam bangunan yang sama dengan suspek, kedua-duanya mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dalam sesi soal siasat awal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

