Resolusi kemerdekaan Mindanao akan dibentang ke PBB

Cadangan bendera Republik Persekutuan Mindanao. Foto: Agensi
Cadangan bendera Republik Persekutuan Mindanao. Foto: Agensi
A
A
A

CAGAYAN DE ORO – Satu resolusi yang menuntut kemerdekaan wilayah Mindanao secara aman akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Penyahjajahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pertimbangan dan kemungkinan tindakan lanjut, menurut sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpangkalan di New York, memetik laporan Daily Tribune.

Resolusi itu diluluskan hasil beberapa siri mesyuarat perundingan melibatkan seluruh Mindanao dan dijangka diserahkan kepada PBB selepas mendapat sokongan lanjut daripada Kongres Rakyat Mindanao.

Menurut sumber PBB berkenaan, perundingan menyeluruh yang dijalankan di Mindanao merupakan antara syarat penting sebelum PBB boleh menilai status ‘entiti berperang’ (belligerent entity) Mindanao di bawah undang-undang antarabangsa.

“Memadai sekiranya satu negara anggota PBB mengiktiraf atau menyokong kemerdekaan Mindanao untuk memulakan proses penyahjajahan,” kata sumber itu.

Resolusi tersebut diluluskan semasa Persidangan Perundingan Rakyat Mindanao yang berlangsung pada 27 Disember 2025 di Hotel Limketkai Luxe, Cagayan de Oro City, dengan kehadiran pemimpin dan wakil masyarakat dari wilayah Mindanao Utara, Tengah dan Barat.

Dokumen resolusi itu menyeru perjuangan secara aman bagi membebaskan Mindanao daripada apa yang digelar sebagai 'imperialisme Manila', selain menggesa penyatuan rakyat Mindanao untuk membentuk sebuah negara Persekutuan merdeka di bawah kerangka undang-undang antarabangsa sedia ada.

Antara lain, resolusi itu menyatakan bahawa ketidakseimbangan politik dan ekonomi negara telah memberi kesan berpanjangan terhadap pembangunan Mindanao, sekali gus menuntut penyelesaian drastik dan menyeluruh demi masa depan wilayah tersebut.

Penganjur turut memaklumkan bahawa resolusi berkenaan akan dibentangkan dalam Kongres Rakyat Mindanao, yang dijangka diadakan sama ada di Cagayan de Oro City atau Tagum City, Davao del Norte.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa peserta perundingan, termasuk dari Wilayah Autonomi Bangsamoro, menyatakan sokongan terhadap peralihan kuasa secara aman tanpa perjuangan bersenjata.

Artikel Berkaitan:

Malah, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) arus perdana turut menyokong pendekatan aman dengan mengemukakan resolusi berasaskan 'model Kosovo', iaitu usaha mendapatkan kemerdekaan melalui plebisit di bawah pengawasan PBB. – Agensi

Ringkasan AI

  • Resolusi menuntut kemerdekaan Mindanao akan dikemukakan kepada PBB
  • Diluluskan hasil perundingan melibatkan seluruh Mindanao dan mendapat sokongan Kongres Rakyat Mindanao
  • Perundingan menyeluruh di Mindanao adalah syarat sebelum PBB nilai status Mindanao sebagai 'entiti berperang'
  • Resolusi menyeru perjuangan aman dan penyatuan rakyat Mindanao untuk bentuk negara Persekutuan merdeka
  • Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro menyokong pendekatan aman bermodalkan 'model Kosovo'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!