Anak bekas Presiden Venezuela percaya ada pengkhianat

CARACAS - Anak bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro Guerra menyuarakan kecurigaan mengenai kewujudan perisik dalam kalangan orang terdekat bapanya menerusi satu mesej audio yang dikongsi di media sosial pada Ahad.
“Sejarah akan menentukan siapa pengkhianat sebenar,” katanya.
Para penunjuk perasaan di Caracas turut mengulangi spekulasi bahawa Nicolas Maduro telah dikhianati oleh seseorang dalam lingkaran terdekatnya, sekali gus memudahkan pasukan khas AS menangkap beliau di pangkalan tentera terbesar negara itu.
“Bagaimana mungkin... pertahanan udara tidak berfungsi?,” soal seorang akauntan berusia 69 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Papa Juancho.
“Nicolas Maduro disingkirkan oleh pengkhianat, kerana dengan tahap keselamatan yang beliau miliki, perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Sekitar 2,000 rakyat berhimpun pada Ahad di Caracas bagi menuntut pembebasan Maduro dan isterinya yang dipenjarakan di New York oleh Amerika Syarikat (AS).
Sekumpulan anggota separa tentera pro-Maduro dan penunggang motosikal mengiringi para penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera Venezuela berwarna merah, biru serta kuning.
“Bebaskan presiden kami,” tertera pada sepanduk yang dipegang seorang lelaki berbaju flanel merah yang memaparkan imej bekas presiden dan mentor Maduro, tokoh sosialis terkenal Allahyarham Hugo Chavez.
“Venezuela bukan jajahan sesiapa,” bunyi satu lagi sepanduk merujuk kepada pengumuman Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu bahawa Washington akan menguruskan Venezuela dalam satu tempoh peralihan yang tidak ditetapkan.
Pada Isnin, Maduro dijadualkan hadir ke mahkamah di New York untuk berdepan pertuduhan narkoterrorisme berkaitan dakwaan penyeludupan kokain ke Amerika Syarikat.
“Pengedar dadah dan pengganas sebenar ialah Trump,” kata Nairda Itriago, 56, kepada AFP dengan nada marah, sambil menuduh tentera AS yang melancarkan serangan udara bagi melumpuhkan pertahanan Venezuela ketika Maduro ditangkap telah membunuh orang awam yang tidak bersalah.
Hospital-hospital di Venezuela enggan mendedahkan jumlah korban atau mangsa yang cedera akibat serangan sebelum Subuh itu.
Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino Lopez berkata, sebahagian besar pasukan keselamatan Maduro terbunuh secara kejam termasuk anggota tentera dan orang awam, namun tidak memberikan angka terperinci.
Bagaimanapun, satu kumpulan doktor memberitahu AFP bahawa sekitar 70 orang terkorban dan 90 lagi cedera.
Ringkasan AI
- Anak bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro Guerra mencurigai adanya perisik dalam kalangan orang terdekat bapanya
- Maduro didakwa dikhianati oleh seseorang dalam lingkaran terdekatnya sehingga memudahkan tangkapan oleh pasukan khas AS
- Sekitar 2,000 rakyat berhimpun di Caracas menuntut pembebasan Maduro dan isterinya
- Maduro dijadualkan hadir ke mahkamah di New York atas pertuduhan narkoterrorisme
- Serangan udara AS dilancarkan ketika Maduro ditangkap, menyebabkan kira-kira 70 orang terkorban dan 90 lagi cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
