Zamry sifatkan lawatan kerja ke New Zealand berjaya

Zambry
Zambry
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan lawatan kerjanya ke New Zealand baru-baru ini berhasil dan berjaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

Katanya, lawatan kerja yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei itu juga merupakan lawatan bersejarah bagi kedua-dua negara kerana beliau dan rakan sejawatnya Nanaia Mahuta telah bersama-sama menyaksikan pemeteraian dokumen Kerjasama Strategik (Strategic Partnership-SP) Malaysia-New Zealand.

"Kerjasama Strategik ini akan memberi manfaat yang tinggi kepada kedua-dua negara dari segi peningkatan kerjasama dan kolaborasi dua hala yang lebih meluas dalam pelbagai sektor termasuk kerjasama dalam sektor industri halal dan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau dan Mahuta juga telah mengadakan sesi perbincangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama.

Selain itu, Zambry berkata lawatan itu juga berjaya mengekalkan momentum hubungan dua hala Malaysia yang sedia erat dengan New Zealand dan sekaligus menyelesaikan isu-isu tertunggak, menjelaskan dasar Kerajaan semasa di bawah kepimpinan baharu dan membuka peluang-peluang pelaburan baharu ke Malaysia dan New Zealand.

Ini merupakan lawatan peringkat tinggi Menteri Luar Malaysia ke New Zealand selepas 18 tahun (kali terakhir adalah pada 2005).

"Lawatan kerja ini juga melambangkan usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan New Zealand,” katanya.

Dalam rangka lawatan itu, Zambry juga berpeluang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitiri bersama rakyat Malaysia di New Zealand.

Dianggarkan seramai 18,000 warga Malaysia berada di New Zealand yang terdiri daripada pelajar, golongan profesional serta pelabur-pelabur.

New Zealand merupakan antara rakan dagangan penting buat Malaysia, sejak hubungan diplomatik ditubuhkan pada 1957.

Jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM11.3 bilion (AS$2.56 bilion), meningkat 49.6 peratus berbanding RM7.55 bilion (AS$1.82 bilion) pada 2021. - Bernama