Trump beri amaran serangan kedua ke atas Venezuela

Suasana suram di Venezuela selepas penahanan Maduro. Foto: Agensi
Suasana suram di Venezuela selepas penahanan Maduro. Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Washington tidak menolak kemungkinan melancarkan serangan ketenteraan kedua ke atas Venezuela selepas penahanan Presiden Nicolás Maduro, sekiranya baki pentadbiran negara itu enggan bekerjasama dalam usaha AS untuk ‘membaiki’ keadaan negara berkenaan.

Trump berkata demikian kepada wartawan ketika berada di atas pesawat Air Force One pada Sabtu, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai potensi campur tangan ketenteraan AS yang lebih meluas di Amerika Latin.

“Jika mereka tidak bekerjasama, serangan seterusnya adalah sesuatu yang mungkin berlaku,” katanya.

Dalam kenyataan yang turut mencetuskan kontroversi, Trump membayangkan Colombia dan Mexico juga boleh berdepan tindakan ketenteraan sekiranya gagal membendung aliran dadah haram ke AS.

“Operasi Colombia kedengaran baik bagi saya,” katanya sambil menyifatkan Cuba, sekutu rapat Venezuela sebagai “bersedia untuk tumbang” tanpa campur tangan ketenteraan AS.

Maduro kini ditahan di pusat tahanan New York dan dijadualkan hadir ke mahkamah pada 5 Januari bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengedaran dadah dan konspirasi narco-terorisme.

Penahanannya menimbulkan ketidaktentuan besar terhadap masa depan negara Amerika Selatan yang kaya dengan sumber minyak itu.

Trump menegaskan pentadbirannya akan bekerjasama dengan baki pegawai kerajaan Maduro bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah dan menyusun semula industri minyak Venezuela dan bukannya segera mengadakan pilihan raya.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin kanan kerajaan Venezuela masih berkuasa dan menyifatkan penahanan Maduro serta isterinya, Cilia Flores, sebagai satu penculikan.

Artikel Berkaitan:

“Di negara ini hanya ada seorang Presiden iaitu Nicolás Maduro Moros,” kata Menteri Dalam Negeri Venezuela, Diosdado Cabello dalam rakaman audio yang dikeluarkan parti pemerintah PSUV, sambil menggesa rakyat tidak terpedaya dengan ‘provokasi musuh’.

Trump turut menegaskan bahawa syarikat minyak AS perlu diberikan akses penuh kepada rizab minyak Venezuela yang terbesar di dunia dan mendakwa keputusan menahan Maduro turut dipengaruhi isu migrasi.

“Apa yang benar-benar mendorong keputusan ini ialah dia menghantar jutaan orang ke negara kami. Dari penjara, institusi mental dan rangkaian dadah,” dakwa Trump.

Kerajaan Venezuela menegaskan sejak awal bahawa Washington menyasarkan sumber asli negara itu, khususnya minyak.

“Kami marah kerana semuanya kini terbongkar... mereka hanya mahukan minyak kami,” kata Cabello.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan Venezuela berkata, serangan AS telah mengorbankan anggota tentera, orang awam serta sebahagian besar pasukan keselamatan Maduro.

Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez telah mengambil alih sebagai pemimpin sementara dengan sokongan Mahkamah Agung, namun menegaskan bahawa Maduro masih Presiden sah negara itu.

Beliau juga secara terbuka menafikan dakwaan Trump bahawa beliau bersedia bekerjasama dengan AS. - Agensi

Ringkasan AI

  • Presiden AS, Donald Trump memberi amaran kemungkinan serangan ketenteraan kedua ke Venezuela jika baki pentadbiran tidak bekerjasama
  • Trump turut menyatakan Colombia dan Mexico boleh berdepan tindakan ketenteraan atas isu pengedaran dadah
  • Nicolás Maduro ditahan di New York, dituduh atas pengedaran dadah dan konspirasi narco-terorisme
  • Trump berhasrat bekerjasama dengan pegawai Venezuela untuk menangani penyeludupan dadah dan menyusun semula industri minyak
  • Pemimpin kanan Venezuela menyifatkan penahanan Maduro sebagai penculikan, sementara Maduro masih dianggap Presiden sah oleh pemerintahannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!