Timbalan Menteri Luar adakan lawatan kerja ke Sweden

Mohamad - Foto fail Bernama
Mohamad - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hubungan dua hala antara Malaysia dan Sweden akan terus diperkasakan menerusi lawatan kerja Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin ke negara itu bermula Jumaat.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Mohamad dijangka menghadiri Forum Menteri-menteri Indo-Pasifik (IPMF) Kesatuan Eropah (EU) pada 13 Mei 2023, dihoskan oleh Sweden.

"Forum ini merupakan inisiatif Kesatuan Eropah untuk meningkatkan kerjasama dan dialog antara EU dan Indo-Pasifik.

"Semasa forum tersebut, Timbalan Menteri dijadualkan untuk mengambil bahagian dalam sesi Roundtable bertemakan 'Membina Kemakmuran Lebih Mampan dan Inklusif Bersama'," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, dalam rangka kerja bermula 12 hingga 14 Mei itu, Mohamad juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Sweden, Jan Knutsson; Setiausaha Kerajaan di Kementerian Luar Negeri Slovenia, MarkoŠtucin dan Setiausaha Agung Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS), Stefano Sannino.

Selain itu, beliau juga dijadualkan untuk bertemu warga Malaysia di Stockholm.

"Lawatan Timbalan Menteri Luar ke Sweden akan memberi peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan Sweden.

"Pada 2022, Sweden merupakan rakan dagangan ke-45 terbesar Malaysia berjumlah RM4.70 bilion (AS$1.07 bilion), peningkatan 13.2 peratus berbanding 2021," katanya.