Sebuah lagi pusat pemindahan banjir di Jelebu ditutup

No Image Caption
A
A
A

JELEBU - Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini ditutup pada 4.04 petang ini menjadikan keseluruhan yang ditutup adalah tiga selepas dua daripadanya ditutup pada 10.35 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jelebu dalam kenyataan di sini berkata, pusat berkenaan adalah Balai Raya Simpang Durian yang sebelum ini menempatkan seramai 57 mangsa daripada 16 keluarga.

Dua pusat yang turut ditutup hari ini ialah Masjid Kampung Poum dan Dewan Orang Ramai Kampung Chennah yang sebelum ini menempatkan seramai 40 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Ini berikutan paras air di kampung berkenaan semakin surut dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dengan penutupan itu, ini menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS semakin berkurangan kepada 69 orang daripada 23 keluarga berbanding 126 orang, pagi tadi.

Dua lagi PPS yang masih beroperasi sejak dibuka pada Jumaat ialah Balai Raya Kampung Juntai yang menempatkan 31 orang dan Masjid Kampung Jerang, 38 orang.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Telekong, Kampung Chennah, Kampung Juntai, Kampung Simpang Durian dan Kampung Jerang.

Sementara itu, pengkarya filem, Mohd Khalil Md Yusof, 42, ketika ditemui Bernama memohon kerajaan negeri supaya menaik taraf sistem perparitan di kawasan kampungnya, Kampung Juntai yang dipercayai menyumbang kepada bencana banjir saban tahun.

Artikel Berkaitan:

“Jika kerajaan negeri memahami permasalahan rakyat di kawasan ini terutama masalah sistem perparitan yang dialami penduduk sejak sekian lama yang jika tidak diperbetulkan, akan menyebabkan kami terpaksa menanggung perkara ini sampai bila-bila," katanya.

Ekoran banjir berkenaan, beliau mendakwa kerugian hampir RM80,000 berikutan kerosakan semua barangan di kediamannya.

Dalam pada itu, penjawat awam, Mohd Zahir Syed Dahlan, 41, memuji tindakan kerajaan dalam menyalurkan bantuan segera kepada penduduk yang terjejas banjir.

“Saya amat berpuas hati dengan bantuan yang diberikan oleh semua pihak,” katanya.

Tinjauan mendapati cuaca cerah di sebelah siang manakala hujan di sebelah petang, selain paras air di Sungai Teriang masih tinggi.

Selain itu, penghuni PPS juga mengambil peluang membersihkan kediaman mereka yang dilanda banjir ekoran cuaca baik. - Bernama