Bangkai ikan lumba-lumba terdampar di pantai

Bangkai ikan lumba-lumba itu ditemui oleh seorang nelayan tempatan di Pantai Sungai Miri, Khamis lepas.
Bangkai ikan lumba-lumba itu ditemui oleh seorang nelayan tempatan di Pantai Sungai Miri, Khamis lepas.
A
A
A

LABUAN - Taman Laut Labuan, Jabatan Veterinar Labuan dan Jabatan Perikanan Labuan sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan ikan lumba-lumba jantan jenis spinner yang dijumpai mati dengan kesan luka di Pantai Sungai Miri, Khamis lepas.

Pakar mamalia laut dari Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Panjang mengesahkan ikan lumba-lumba dewasa itu dari jenis ‘Stenella longirostris’, iaitu ikan lumba-lumba kecil yang dijumpai di perairan tropika di luar pantai seluruh dunia.

Bangkai ikan lumba-lumba itu ditemui oleh seorang nelayan tempatan kira-kira 2 petang, yang kemudian memaklumkannya kepada Pengarah Taman Laut Labuan, Anuar Deraman.

“Apabila saya melihat bangkai ikan lumba-lumba itu, saya terus memaklumkan Pengarah Jabatan Veterinar Labuan Dr Marysia James Abie dan beliau segera menghantar kakitangannya, Dr Larry Daves untuk menjalankan nekropsi ke atas bangkai,” kata Anuar kepada Bernama.

Hasil nekropsi menunjukkan haiwan laut itu cedera dengan luka di bahagian atas badan, berkemungkinan terkena batu atau objek keras ketika haiwan itu masih hidup.

Anuar berkata, ikan lumba-lumba itu berukuran 2.3 meter panjang dan berat kira-kira 70 kilogram.

Akta Perikanan 1985 (Bahagian VI, Haiwan Akuatik) menyatakan bahawa tiada individu dibenar menangkap, mengambil, membahayakan atau mengganggu mana-mana mamalia laut di perairan Malaysia, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Sekiranya haiwan itu tidak sengaja ditangkap, ia perlu dilepaskan segera dan jika ia didapati mati, Jabatan Perikanan Malaysia perlu dimaklumkan berhubung insiden itu dan bangkai haiwan itu, jika ada, hendaklah dilupuskan mengikut arahan jabatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: