X

Kindly register in order to view this article
!

SOSMA perlu dimansuh kerana aniaya tahanan tak bersalah

Mahathir Rahman
A
A

SHAH ALAM - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dimansuhkan kerana ia undang-undang zalim dan menganiaya tahanan tidak bersalah.

Pengerusi Desak Sampai Mansuh, Mahathir Rahman berkata, ini kerana tahanan di bawah akta itu tidak diberikan ruang untuk mempertahankan diri.

Menurutnya, perjuangan beliau bersama-sama ahli keluarga 86 tahanan SOSMA yang mula digerakkan sejak empat tahun lalu itu bertujuan untuk membuka mata semua pihak akan kezaliman akta tersebut.

“Selagi mana ia tidak kena kepada keluarga anda (tahanan SOSMA) selagi itulah anda tidak tahu bagaimana zalimnya (SOSMA).

“Jadi, saya tetap dengan pendirian saya yang mahukan SOSMA dimansuhkan kerana undang-undang sedia ada telah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian Siri 136 membincangkan tajuk, SOSMA: Mansuh Atau Kekal? di Dewan Karangkraf di sini malam ini.

Selain itu, dua panel lain, Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dan Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz turut dijemput bagi mengupas isu itu, manakala Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, akta itu juga tidak adil terhadap tahanan yang melakukan kesalahan kecil seperti memiliki pakaian, bendera dan peralatan lain yang dikaitkan dengan pengganas sedangkan perbuatan itu tidak diketahui mereka.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu bahawa memiliki bahan atau peralatan (yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas) adalah salah kerana tiada takrifan yang jelas.

“Jadi, sepatutnya kesalahan-kesalahan kecil itu perlu diuar-uarkan,” katanya.