145,650 individu dapatkan khidmat kaunseling LPPKN

Narimah (tengah) bergambar bersama peserta selepas Majlis Perasmian Seminar Kaunseling Perkahwinan dan Seksualiti sempena Bulan Kaunseling (MASEC) 2019 di Pusat Keluarga LPPKN Seremban hari ini.
Narimah (tengah) bergambar bersama peserta selepas Majlis Perasmian Seminar Kaunseling Perkahwinan dan Seksualiti sempena Bulan Kaunseling (MASEC) 2019 di Pusat Keluarga LPPKN Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 145,650 individu menerima perkhidmatan kaunseling yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seluruh negara sepanjang tempoh tahun lalu.

Pengerusi LPPKN, Datuk Dr Narimah Awin berkata, sebanyak 53,666 sesi kaunseling secara individu dan kelompok telah dijalankan oleh Pegawai Psikologi dan Kaunselor LPPKN yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.

Katanya, daripada jumlah peserta yang menjalani sesi kaunseling, sebanyak 11,712 kes berkaitan isu keluarga manakala isu kesihatan mental sebanyak 8,035 dan melibatkan kes personaliti sebanyak 4,218 kes.

"Peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling perlu dilihat sebagai keperluan penting dalam situasi masyarakat kini yang berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 yang dilaksanakan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) bagi skop kesihatan remaja, menunjukkan bahawa perasaan cemas, depresi dan stres merupakan antara yang tertinggi.

"Kesemua itu adalah penyakit mental utama yang perlu dipandang serius dan sebab itulah perkhidmatan kaunseling ini perlu bermula di peringkat awal iaitu intervensi di peringkat pelajar sekolah termasuk ibu bapa mereka yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Seminar Kaunseling Perkahwinan dan Seksualiti sempena Bulan Kaunseling (MASEC) 2019 di Pusat Keluarga LPPKN Seremban hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Usim, Profesor Datuk Dr Roshada Hashim.

Artikel Berkaitan:

Seramai 250 peserta hadir menjayakan program MASEC 2019 yang buat julung kalinya diadakan secara rasmi bersama LPPKN.

Program ini diterajui oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dalam pada itu Narimah memberitahu, melalui Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 mendapati sebanyak 18.7 peratus wanita yang sedang bekerja menghadapi masalah mengimbangi peranan antara kerjaya dan keluarga sebanyak 52 peratus.

Katanya, masalah utama yang dihadapi mereka adalah kurang masa bersama keluarga menyebabkan sukar ibu bapa memainkan peranan yang aktif dalam pembentukan keluarga yang harmoni serta penerapan nilai-nilai murni.