Dr Mahathir ulangi sokongan terhadap BRI

Dr Mahathir ketika sesi soal jawab pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ hari ini.
 -Foto Bernama
Dr Mahathir ketika sesi soal jawab pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun Malaysia secara amnya menyokong idea di sebalik Insiatif Jalur dan Laluan (BRI) China namun negara masih perlu mengkaji strategi pembangunannya.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan sensitiviti kaum masih utuh.

“Kami tidak mahu rakyat berfikir selepas dipengaruhi oleh barat sebelum ini dan kini akan dipengaruhi pula oleh China.

“Saya percaya China akan mempunyai pengaruh besar ke atas seluruh dunia pada masa depan, tetapi pada masa ini bukan untuk kami menggalakkan idea dan ideologi China,” katanya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama di persidangan ISIS Praxis di sini hari ini.

Mengulas soalan daripada hadirin mengenai komik yang diedarkan di sekolah untuk mempromosikan BRI China bertajuk ‘Belt and Road initiative for Win Winism’, Dr Mahathir berkata, mempengaruhi minda generasi muda Malaysia merupakan tindakan yang tidak baik.

“Golongan muda mesti memahami masalah, strategi dan dasar negaranya sendiri terlebih dahulu, jadi apabila perlu menangani masalah dengan pihak lain, mereka tahu kedudukan mereka.

“Sebanyak mana kita tidak mahu pengaruh barat dalam strategi kita ke atas sekolah, kita juga tidak mahu mana-mana negara lain mempunyai pengaruh tidak wajar terhadap generasi muda kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia sentiasa menganggap China sebagai rakan, kecuali semasa awal tempoh kemerdekaan ketika China mengamalkan komunisme yang tidak menjadi pegangan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagaimanapun memandangkan China telah mengamalkan dasar baharu yang memberi manfaat sekali gus mengubahnya menjadi ekonomi kedua terbesar dunia dan sebuah pasaran yang baik, jadi Malaysia melihat ia sebagai peluang positif untuk meneruskan hubungan erat dengan China.

Selain itu Perdana Menteri berkata, pihak yang terlibat dalam menggalakkan perpaduan nasional tidak sepatutnya bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan pengurangan cukai dan subsidi, sebaliknya usaha mereka harus berlandaskan semangat dan kecintaan terhadap tanah air.

“Sudah sampai masanya untuk melupakan subsidi,” katanya. - Bernama