Kibar Jalur Gemilang pamer kesetiaan, cinta pada negara - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan bagi mempamerkan kesetiaan dan kecintaan pada negara selain menghayati semangat kemerdekaan.

Perdana Menteri turut mengajak rakyat meraikan bulan berkenaan selain menunjukkan bahawa mereka adalah satu generasi yang memahami perjuangan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan untuk negara.

"Saya syorkan mulai sekarang sehingga 31 Ogos Hari Kemerdekaan negara dan seterusnya Hari Malaysia 16 September, kita kibar Jalur Gemilang dengan megah.

"Di setiap kenderaan, di setiap jabatan, di rumah, di mana sahaja untuk menunjukkan bahawa Malaysia sekarang bangkit sebagai negara yang bersatu padu, punyai cita-cita, punyai idealisme untuk menghayati semangat kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam video Ucapan Khas Perdana Menteri sempena Hari Kebangsaan 2023 diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 September berlangsung di Kuching, Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan: