Yan Ke gesa UM tarik balik laporan polis

Yan Ke mencetuskan kontroversi apabila bertindak membawa plakad di pentas majlis konvokesyen bagi menuntut peletakan jawatan Naib Canselor UM.
Yan Ke mencetuskan kontroversi apabila bertindak membawa plakad di pentas majlis konvokesyen bagi menuntut peletakan jawatan Naib Canselor UM.
A
A
A

SHAH ALAM – Graduan kejuruteraan awam Universiti Malaya (UM) yang melakukan protes semasa majlis konvokesyen baru-baru ini menggesa pihak pengurusan universiti terbabit menarik laporan polis terhadapnya.

Wong Yan Ke, 23, berkata, ia sebagai bukti pihak universiti mempertahankan kebebasan hak bersuara dan demokrasi.

“Saya mahu pihak universiti menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap saya untuk membuktikan keikhlasan mereka berhubung perkara ini selain untuk membuktikan mereka mempertahankan hak untuk bersuara.

“Saya tidak peduli dengan orang lain yang melakukan perkara sama terhadap saya tetapi bukannya universiti.

“Sepatutnya universiti menegakkan prinsip kebebasan akademik dan kebebasan bersuara. Saya masih tidak rasa pihak universiti berada di landasan yang betul,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Yan Ke juga mengulangi kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim bagi mendapatkan penjelasan mengenai ucapannya semasa Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

“Saya bersedia berjumpa dengannya dan beliau perlu beri penjelasan. Saya berharap kami boleh berbincang dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Yan Ke mempertahankan tindakannya menggunakan pentas konvokesyen bagi menyuarakan ketidakpuasan hati kerana berpandangan ianya tidak salah seperti mana protes yang dilakukan oleh ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Jangan kata tempat ini tidak sesuai, kita nampak banyak ahli Parlimen, mereka protes dalam Parlimen adakah ini menunjukkan mereka tidak beradab?

“Bantahan saya hanya berlangsung selama lima saat. Saya tidak mengganggu aliran majlis atau merosakkan suasana gembira dan orang ramai masih menikmati persembahan semasa majlis itu.

“'Civil disobedience' tidak patut disekat oleh tempat dan masa sebab kami (pelajar) tengah berdepan dengan mereka yang berkuasa dan bersifat 'authoritarian'.

“Walaupun kami guna platform yang sesuai, pihak atasan hanya mengabaikan suara kami dan ini juga pernah berlaku kepada saya waktu sebagai aktivis mahasiswa, berkali-kali kami hantar memorandum dan surat temu janji, tetapi VC hanya berdiam diri atas pelbagai isu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kit Siang gesa UM tarik semula laporan polis terhadap graduan