Amanah desak MB Kelantan mohon maaf, tarik balik kenyataan

 Hisham Fauzi
Hisham Fauzi
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan mendesak Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menarik balik kenyataannya yang menyifatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri itu sebagai pihak yang menentang perjuangan Islam.

Pengarah Operasi (Biro Kanun) Pilihan Raya Negeri (PRN) Amanah Kelantan, Hisham Fauzi berkata, Mohd Nassuruddin juga dituntut untuk membuat permohonan maaf kepada kedua-dua wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu.

“Saya sangat dukacita dengan dakwaan ini dan menyanggah sekeras-kerasnya tuduhan liar itu. Pas seolah-olah lupa bahawa mereka juga pernah hanya ada dua kerusi di Kelantan pada tahun 1978 dahulu.

“Maka, saya dengan ini mendesak dengan tegas agar tuduhan dan label penentang perjuangan Islam ini ditarik balik dan menuntut beliau memohon maaf kepada kedua-dua wakil rakyat daripada pembangkang itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian merujuk mengenai dakwaan Menteri Besar Kelantan bahawa terdapat dua wakil rakyat yang menentang perjuangan Islam di dalam DUN Kelantan semasa memberikan kuliah di Kota Bharu, semalam.

Hisham berkata, Menteri Besar Kelantan yang baharu itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak tepat, mengelirukan hanya kerana perbezaan pendekatan dan pemahaman antara Pas serta Amanah.

Menurut Hisham, agama Islam bukan milik eksklusif Pas tetapi milik keseluruhan umat Islam di dunia.

“Kalau semata-mata kami tidak setuju dengan beberapa pendirian Pas tentang Islam, maka hal itu ialah perkara ijtihadi yang dibenarkan di dalam Islam dan tidak boleh kami terus dilabel sebagai penentang perjuangan Islam,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada pilihan raya negeri (PRN) ke-15 lalu, Pas menang di 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala dua dimenangi PH-BN di Galas dan Kota Lama.

ARTIKEL BERKAITAN: Lawan Pas dalam pilihan raya bukan bererti lawan Islam - Khairuddin