Feri masih jadi pilihan

Masih ramai penunggang motosikal menggunakan perkhidmatan feri.
Masih ramai penunggang motosikal menggunakan perkhidmatan feri.
A
A
A
BUTTERWORTH - Masih ramai pengguna motosikal yang memilih untuk menggunakan perkhimatan feri di negeri ini walaupun pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah dilaksanakan bermula 1 Januari lalu.

Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian semalam mendapati ratusan pengguna motosikal masih berbaris bagi menaiki pengangkutan awam yang menjadi ikon kepada negeri ini.

Walaupun kadar caj yang dikenakan sebanyak RM2 pada masa kini namun ia tidak menjadi masalah kepada mereka terutamanya yang tinggal di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan bekerja di kawasan pulau.

Bagi mereka, menggunakan perkhidmatan feri lebih cepat daripada terpaksa menempuh jalan yang lebih jauh sekiranya mahu mengunakan kedua-dua jambatan berkenaan.

Muhammad Ibrahim Zulkifli, 23, yang tinggal di Penaga di sini, menggunakan perkhimatan feri lebih sesuai baginya kerana lebih dekat dan menjimatkan untuk ke kawasan pulau selain boleh berteduh di dalam feri sepanjang perjalanan.

Menurutnya, walaupun kerajaan memberi percuma tol jambatan bagi pengguna motosikal namun beberapa isu lain perlu ditangani terutamanya masalah kesesakan pada waktu puncak yang menyebabkan aliran untuk motosikal juga terganggu.

"Tambahan pula perkhidmatan feri pada masa kini bertambah baik dan pengguna tidak perlu menunggu lama untuk naik menyeberang laut," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi David Amala, 57, dari Selangor dia lebih selesa menggunakan perkhimatan feri kerana dapat menikmati keindahan perairan Pulau Pinang selain feri menjadi lambang kemegahan di negeri ini.

"Ya, saya tahu jambatan sekarang percuma untuk motosikal tetapi saya lebih suka merasai pengalaman menaiki feri yang mempunyai sejarah di Pulau Pinang.
Artikel Berkaitan:


"Saya percaya ramai juga yang akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang selepas ia dimansuhkan tol kepada pengguna motosikal namun pengunjung luar seperti saya amat rugi kalau tidak merasakan pengalaman menaiki feri sekiranya datang ke sini," katanya.

Turut berkongsi pandangan, Ahmad Ridhwan Mansor, 36, yang tinggal di Greenlane di Georgetown.

Menurutnya, anaknya yang bersekolah di kawasan Perai membuatkan dia memilih untuk berulang alik menggunakan feri untuk ke seberang.

"Bagaimanapun, kita perlu ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menghapuskan tol jambatan di negeri ini sekaligus dapat meringankan beban pengguna motosikal yang setiap hari berulang dari tanah besar ke pulau," katanya.