LTTE: Perluas pendidikan anti keganasan

Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman
Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan undang-undang mengenai akta keganasan perlu diperluaskan bagi menangani keganasan dan mencegah penglibatan masyarakat menyertai kumpulan pengganas.

Penganalisis Keganasan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman berkata, semua pihak perlu mengambil langkah proaktif bagi memerangi ancaman keganasan.

Menurutnya, pihak berkuasa mesti mengenal pasti bahawa kumpulan itu misalnya Daesh, Jemaah Islamiah, Kumpulan Militan Malaysia dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ialah kumpulan disenaraikan sebagai kumpulan pengganas

"Mengenal pasti itu adalah langkah yang pertama. Kedua adalah memberi kesedaran kepada masyarakat dan ini amat perlu dan dengan menggunakan pelbagai kaedah dan cara penyampaian.

"Saya fikir kaedah yang paling sesuai dan efektif dalam jangka masa panjang adalah bermula daripada bawah. Mereka yang berada di peringkat kampung perlu diberikan kesedaran tentang ini," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas langkah terbaik mengelak masyarakat terlibat dalam aktiviti keganasan dan cara untuk menangani pengganas kumpulan pengganas LTTE.

Katanya, kesedaran melalui ketua balai setiap daerah di seluruh negara termasuk melibatkan ketua kampung selain imam juga perlu diberikan kesedaran kerana mereka adalah pemimpin dalam masyarakat.

"Termasuk guru mengajar di peringkat sekolah terutama menengah. Ia juga perlu melibatkan pegawai pegawai agama dan ini kita bercakap melalui kaedah 'buttom up approach'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad El-Muhammady berkata, Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014 dan dari sudut geografi dalam bandar pula, pendekatannya ialah dari atas ke bawah termasuk melalui penggunaan sosial media dan juga kempen seperti kempen memerangi dadah sebelum ini.

"Kalau kita ingat kempen anti dadah di negara ini dibuat secara meluas dalam televisyen dan di papan iklan. Persoalannya adakah penekanan yang sama diberikan terhadap ancaman keganasan.

"Kumpulan yang disyaki memberi sokongan secara langsung kepada kumpulan pengganas termasuk LTTE di negara ini masih terkawal dan hanya terdiri daripada golongan minoriti," katanya.

Menurutnya, ini bermakna golongan majoriti di Malaysia tidak menjurus ke arah tersebut kerana mereka menyedari bahawa fahaman pengganas ini sangat merbahaya kepada negara dan masyarakat.

"Meskipun begitu kita tidak boleh mengambil ringan ancaman golongan minoriti terhadap golongan majoriti kerana mereka boleh membesar dari segi saiznya dan boleh mempengaruhi kumpulan majoriti," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebanyak lima kesalahan utama dikenal pasti menjadi trend dalam kalangan mereka disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan ini ialah menyokong, mempromosi, memiliki, memberi dana dan berbaiah.