Dua majikan didenda izin PATI tinggal di premis niaga

Hun Chang (tengah) dan Mohd Azrul Fajri (kanan) sedang menguruskan prosedur untuk pembayaran denda di kaunter Kompleks Mahkamah di sini.
Hun Chang (tengah) dan Mohd Azrul Fajri (kanan) sedang menguruskan prosedur untuk pembayaran denda di kaunter Kompleks Mahkamah di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah benarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di dalam premis perniagaan, dua majikan masing-masing didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Teoh Hun Chang, 59, dan Mohd Azrul Fajri Hashim, 45, masing-masing turut diarahkan dipenjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas mereka mengaku salah atas dakwaan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Bagi pertuduhan terhadap tertuduh Hun Chang, dia didakwa membenarkan seorang lelaki warga Myanmar, Thian Cin Khat, 28, berada di premis miliknya di Chua Ah Kee Kuari Sdn Bhd, Jalan Kuala Terengganu/Jerangau, Hulu Terengganu, jam 12.45 tengah hari pada 24 Jun lalu.

Manakala tertuduh, Mohd Azrul Fajri pula didakwa membenarkan seorang lelaki warga Indonesia, Suwandi Parto Ijoyo, 49, berada di dalam premisnya di Marang Guest House And Restaurant, Kampung Paya, Bukit Batu Merah, Marang, jam 10.40 pagi pada 21 Ogos lalu.

Dengan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Juliayana Hasan @ Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: