Kesahihan lantikan Sri Ram sebagai DPP didengar di Mahkamah Tinggi

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mencabar kesahihan pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) kanan akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kebenaran kepada Najib dan Muhammad Shafee bagi semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos 2019.

Hakim Tengku Maimun berkata, selepas membaca kertas sebab dan hujah oleh kedua-dua pihak, panel puas hati bahawa permohonan untuk kebenaran bagi semakan kehakiman dan usul jenayah (mengenai pelantikan Sri Ram) adalah berlainan dan berasingan.

“Oleh itu isu ‘res judicata’ (perkara telah selesai) dan salah guna proses tidak timbul,” kata Hakim Tengku Maimun yang menyidangi kes itu bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun.

Hakim Tengku Maimun berkata, panel bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan, oleh itu menolak kebenaran untuk merayu tanpa perintah berhubung kos.

Panel telah mendengar hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke yang mewakili AGC selaku pemohon, Muhammad Shafee yang bertindak bagi pihak Najib dan Harvinderjit Singh bagi pihak Muhammad Shafee yang merupakan responden.

Kes itu dijadual didengar berasaskan merit substantif pada 25 Oktober ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya.

Artikel Berkaitan:

Najib dan Muhammad Shafee secara berasingan memfail bagi semakan kehakiman pada Disember tahun lepas untuk mencabar keputusan Peguam Negara melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Acara Jenayah.

Mereka menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram atau beliau menarik diri dengan menyatakan surat pelantikannya adalah tidak sah.

(Mereka juga memohon perisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan meminta satu perintah bagi melarang beliau (Sri Ram) daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka, termasuk mengenai rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu Muhammad Shafee bila ditemui pemberita selepas kes itu berkata, beliau tidak akan memohon penangguhan perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Najib yang sedang berjalan sementara menunggu penyelesaian prosiding semakan kehakiman.

“Jika kami menang dalam permohonan semakan kehakiman ini, perbicaraan 1MDB akan diisytihar batal,” kata beliau.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan pada perbicaraan 1MDB Najib. - Bernama