Abu Bakar, Abdul Karim angkat sumpah Hakim Mahkamah Persekutuan

Dari kiri: Abu Bakar, Abdul Karim
Dari kiri: Abu Bakar, Abdul Karim
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengangkat sumpah jawatan serta taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada Selasa.

Abu Bakar, 60, dan Abdul Karim, 64, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada majlis yang diadakan secara tertutup di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini.

Majlis itu disiarkan secara langsung melalui portal rasmi serta saluran media sosial rasmi YouTube dan Facebook Badan Kehakiman Malaysia.

Abu Bakar, yang dilahirkan di Muar, Johor dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2019, adalah antara lima anggota panel yang mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau juga mengetuai panel tiga hakim bagi rayuan kes bunuh 23 penghuni dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Abdul Karim, yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016, pula mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan Najib membabitkan dana SRC.

Empat Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azmi Ariffin, 62, Datuk Azhahari Kamal Ramli, 60, Datuk S.M Komathy Suppiah, 64, dan Datuk Dr Choo Kah Sing, 55, mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Seramai 10 Pesuruhjaya Kehakiman termasuk Datuk Mohd Arief Emran Arifin, 47, dan Dr John Lee Kien How@Mohd Johan Lee, 49, pula mengangkat sumpah jawatan Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Turut mengangkat sumpah jawatan itu ialah Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor, 54, Norliza Othman, 57, Hasbullah Adam, 55, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim, 57, Roslan Mat Nor, 58, Julia Ibrahim, 57, Adlin Abdul Majid, 49 dan Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, 52.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Faridz Gohim Abdullah, 57, antara enam yang mengangkat sumpah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Turut mengangkat sumpah jawatan itu ialah Mohamad Haldar Abdul Aziz, 58, S. Indra Nehru, 59, Roszianayati Ahmad, 54, Yusrin Faidz Yusoff, 49 dan Moses Susayan, 55. - Bernama