'Baguslah dia terima Tan Sri, sama taraf dengan Nik Aziz' - Tun M

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang adalah sama taraf dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sumbangan yang dilakukan oleh Kit Siang tidak boleh dilawan oleh mana-mana pihak.

“Baguslah dia (Kit Siang) terima Tan Sri sebab sama taraf dengan Nik Aziz,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu sidang media Mesyuarat Tertutup Rundingan Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, pada Selasa.

Pada 5 Jun, media tempatan melaporkan Kit Siang dan Nik Abdul Aziz merupakan antara penerima yang dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.