X

Kindly register in order to view this article
!

Tanggapan wanita salah guna cuti bersalin pemikiran kolot: Hannah Yeoh

Hannah Yeoh
A
A

PUTRAJAYA - Tanggapan sesetengah pihak bahawa pekerja wanita akan menyalahgunakan cuti bersalin 90 hari yang bakal dilaksanakan pada 2021 disifatkan sebagai pemikiran kolot.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh berkata, terdapat perkara lebih utama yang tidak dapat dinilai oleh sektor majikan.

"Apa yang perlu kita katakan, kementerian menyokong cuti bersalin untuk penjagaan kesihatan yang lebih baik kerana ia bukanlah untuk percutian atau keseronokan," katanya.

Menurutnya, cuti 90 hari yang bakal dilaksanakan adalah sangat berasas kerana ia adalah galakan daripada doktor untuk meneruskan penyusuan eksklusif selama enam bulan.

"Tiga bulan pertama adalah masa sesuai untuk wanita memberi perhatian sepenuhnya kepada bayi mereka dan ia dapat mengurangkan risiko tersedak susu pada awal usia sekiranya dihantar ke pusat asuhan," katanya pada sidang media selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Konvensyen Wanita dan Keluarga Kebangsaan di sini hari ini.

Jumaat lalu, usahawan dan pengasas Christy Ng Sheos, Christy Ng dalam temubual bersama agensi berita tempatan berkata, perlaksanaan cuti bersalin sehingga 90 hari adalah merugikan pekerja tersebut dari segi perjawatan.

Kenyataannya itu mengundang kritikan masyarakat termasuk Hannah.

Hannah dalam ciapan Twitternya mengemukakan beberapa fakta antaranya cuti bersalin bertujuan untuk mewujudkan ikatan (bonding) bersama bayi dan penyusuan.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 berkata, peningkatan tempoh cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari adalah salah satu penelitian semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, kadar kesuburan wanita di Malaysia menurun dengan mendadak daripada 4.9 kelahiran pada 70-an kepada 1.9 pada masa kini.

"Trend akan terus menurun sekiranya tiada sebarang tindakan dibuat," katanya.

Menurutnya, peruntukan dan pengumuman dalam Belanjawan 2020 adalah menjadi paksi kepada pihaknya untuk bertindak.

"Kita akan perlahankan penurunan tersebut supaya tidak menjadi seperti Korea. Bagi setiap keluarga yang ideal adalah mempunyai empat orang anak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus